Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menjelaskan pendiriannya yang tidak mahu menghampakan para pengundi beliau apabila menolak untuk bersekongkol dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Katanya, beliau sedar apabila ramai yang mempertikaikan pendiriannya yang dilihat berubah-ubah apabila menyatakan sokongan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum menarik balik sokongan tersebut dengan berdiri di belakang Tun Dr. Mahathir Mohamad pula.

“Saya akui saya sayang dan bersama Tan Sri Presiden (Muhyiddin) sejak dari awal, malah membulatkan tekad bersama beliau dan meyakini beliau adalah calon PM bagi parti.

“Namun bukanlah sehingga menghampakan undi rakyat yang telah meletakkan kita di kedudukan kita pada hari ini. Rakyat pulang mengundi pada PRU-14 yang lalu untuk tumbangkan regim kleptokrasi UMNO-BN. Itu pasti.

“Apabila keadaan sudah semakin rumit, dan saya terpaksa memilih antara ketaatan dan prinsip, maka saya telah membuat keputusan yang besar dan penting, iaitu kembali kepada para penyokong, rakan-rakan, keluarga, pengundi dan rakan-rakan seperjuangan.

“Kembali kepada prinsip perjuangan yang sebenar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tegas Maszlee, keputusan beliau untuk tidak mahu menyokong gabungan parti yang disertai UMNO itu adalah muktamad.

Katanya, kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan politik.

“Sebagai seorang manusia biasa, saya juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Banyak yang berlaku dalam hidup saya sepanjang dua bulan ini.

“Ditendang, disalah fahami, dikecam, dimusuhi kerana isu-isu yang saya sendiri tidak pilih.

“Di dalam politik, saya orang baharu. Tetapi prinsip sayangkan negara, letakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politik, telah lama ada,” katanya lagi.

Tambahnya, keputusan yang diambil itu jga dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan orang yang rapat dengannya selain menunaikan solat istikharah bagi memohon petunjuk Allah.- MalaysiaGazette