KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diadakan di Istana Negara pada jam 10.30 pagi ini.
Majlis berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen.
Pengumuman pelantikan Muhyiddin, 72, sebagai Perdana Menteri diumumkan oleh Istana Negara semalam.
Pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dipilih selepas semua pemimpin-pemimpin parti politik mengemukakan calon masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya pada 24 Februari lalu.
Tindakan mengejut Dr Mahathir itu telah mencetuskan kemelut politik hingga Kerajaan Pakatan Harapan runtuh. – MalaysiaGazette