Gambar hiasan.

RIYADH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan memulangkan yuran dan bayaran perkhidmatan umrah kepada jemaah yang mana perjalanan mereka terkesan daripada tindakan negara itu menggantung sementara kemasukan pelawat berikutan penularan Covid-19 (koronavirus)

Menurut kenyataan kementerian tersebut yang dipetik Saudi Press Agency (SPA), mekanisme elektronik akan digunakan untuk mengembalikan bayaran visa dan bayaran perkhidmatan menerusi agen umrah di negara terlibat.

Kementerian tersebut menggesa mereka yang mahu membuat tuntutan pemulangan bayaran visa dan perkhidmatan menghubungi agen umrah di negara masing-masing.

Arab Saudi menggantung sementara kemasukan pelawat untuk mengerjakan umrah ke negara itu selain pelawat mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah.

Negara itu juga menggantung kemasukan pemegang visa pelancong dari negara dilanda koronavirus selain penggantungan sementara kemasukan warga Negara-Negara Teluk (GCC) ke Mekadh dan Madinah. – Agensi