Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengarahkan PJ City mendapatkan gelanggang lain bagi saingan Liga Malaysia musim ini selepas mendapati Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak boleh digunakan susulan kerja menaik taraf sedang dijalankan di venue berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani berkata, hasil pemeriksaan Stadium MBPJ mendapati keadaan padang tidak berada di tahap terbaik bagi pengelolaan perlawanan Liga Malaysia musim ini.

Jelas beliau, MFL telah memaklumkan perkara itu melalui surat rasmi kepada Kelab Bolasepak PJ City pada 26 Februari lalu hasil keputusan semakan pemeriksaan Stadium MBPJ pada 25 Februari lalu.

Keputusan pemeriksaan mendapati padang permainan tidak berada dalam keadaan bersedia serta bilik-bilik persalinan masih berada dalam proses naik taraf dan tidak dapat digunakan.

“Sehubungan dengan itu, pihak MFL memutuskan bahawa Stadium MBPJ tidak boleh digunapakai bagi penganjuran Liga Malaysia bagi musim 2020 sehingga kerja naik taraf itu selesai.

“PJ City telah dimaklumkan perkara ini di mana mereka perlu menamakan venue lain sebagai gelanggang alternatif pada 28 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, PJ City dijadualkan menentang Pahang pada aksi kedua CIMB Liga Super di Stadium MBPJ pada 6 Mac ini. – MalaysiaGazette