Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd penyewelengan dana sebanyak RM42 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-85 perbicaraan dengan prosiding pagi tadi ditangguh ke sebelah petang.

Perbicaraan yang bermula sekitar 2.30 petang di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebentar tadi menyambung pemeriksaan balas oleh peguam bela dengan saksi ke–9, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebentar tadi, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu hakim yang Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya telah disapina untuk hadir ke perbicaraan bagi memberikan keterangan esok.

Kata Shafee, selain daripada Latheefa, yang turut disapina adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Setiausaha Sulit, Tan Sri Syukry Mohd Salleh bagi prosiding pembelaan Najib.

Bagaimanapun, terdahulu Shafee memberitahu mahkamah, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sepatutnya dipanggil untuk memberikan keterangan selaku saksi pembelaan hari ini namun tidak berjaya.

“Ibu kepada Mohamed Apandi masih sakit dan pihak pembelaan tidak mahu memberikan tekanan kepada saksi itu pada masa ini Yang Arif,” katanya sebentar tadi.

Selain daripada saksi-saksi ini, satu lagi nama yang di sebut oleh Shafee sebentar tadi adalah bekas Penasihat Undang-Undang parti MIC, Datuk Selva Mokiah sebagai saksi pembelaan esok.

Jelas peguam utama Najib itu, pihaknya akan akan menemubual Selva malam ini sebelum memberi keterangan di kandang saksi esok.

Saksi ke-9, Mohd Nasharudin pula dilepaskan hari ini dan akan dipanggil semula esok bagi menyambung keterangan dengan pasukan pembelaan.

Mohd Nazlan kemudian membenarkan mahkamah ditangguhkan dan bersambung pagi esok.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan Selasa depan bagi perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut dihadapi Najib. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.