KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital yang dikemas kini yang menggabungkan cadangan rangka kerja pengawalseliaan yang dipermudahkan untuk bank digital.
Rangka kerja ini dapat digunakan semasa fasa asas.
Menurut Bank Pusat itu, rangka kerja yang dipermudahkan ini bertujuan untuk mengurangkan beban pengawalseliaan bagi peserta baharu yang mempunyai nilai tawaran yang kukuh untuk pembangunan ekonomi Malaysia, di samping memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan.
Ciri-ciri utama rangka kerja pengawalseliaan yang dipermudahkan ini termasuk:
Keperluan kecukupan modal: Kategori risiko untuk mengira komponen risiko kredit dan risiko pasaran bagi aset berwajaran risiko di bawah rangka kerja modal Basel II telah diselaraskan menjadi kategori yang lebih mudah; dan
Keperluan mudah tunai: Sebanyak 25% daripada liabiliti dalam kunci kira-kira (on-balance sheet) bank digital hendaklah dipegang dalam bentuk aset mudah tunai berkualiti tinggi.
Bank-bank digital akan dikehendaki mematuhi semua keperluan pengawalseliaan yang sama seperti yang dikenakan kepada bank-bank yang sedia ada selepas fasa asas, katanya.
Bank Negara Malaysia turut memaklumkan lanjutan tempoh rundingan untuk Draf Dedahan sehingga 30 April 2020. semua maklum balas mengenai Draf Dedahan ini hendaklah dikemukakan ke Bank pada 30 April 2020 ke alamat e-mel atau alamat di bawah (penyerahan secara elektronik adalah digalakkan).
Tambahnya, permohonan lesen baharu akan dibuka selepas Dokumen Dasar ini dikeluarkan. – MalaysiaGazette
















