Fadiah Nadwa berbaju hitam dan bertudung hitam bercakap kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan lebih sejam kepada D5 Bukit Aman tengahari tadi.

KUALA LUMPUR – Peguam aktivis Fadiah Nadwa Fikri hari ini hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan berhubung kenyataan yang didakwa berbaur hasutan yang disiarkan dalam laman media sosial, Twitter, kelmarin.

Fadiah Nadwa didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dan mengajak orang ramai turun berhimpun di Dataran Merdeka kerana demokrasi mati bagi membantah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Turut hadir bersamanya adalah penyokongnya sekitar 11 pagi di hadapan ibu pejabat polis itu menyatakan solidaritinya.

Fadiah Nadwa yang tiba bersama penyokongnya pada pukul 11 pagi berkata, dia akan memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian pendakwaan dan undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Tambahnya, dia dipanggil untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

“Saya turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada wartawan hari ini.

Turut kelihatan Datin Marina Mahathir untuk memberi sokongan kepada wanita itu.

Semalam Pengarah JSJ Bukit Aman, Huzir Mohamed memaklumkan pemilik akaun Twitter, Fadiah Nadwa yang memuat naik mesej menghasut itu telah dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan.

Fadiah Nadwa berkata, dia dipanggil kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan awam.

“Siastan ke atas saya adalah satu intimidasi dan gangguan terhadap hak kebebasan berucap.

“Lagi pun tidak ada perkataan letih untuk orang yang percaya kepada kebenaran, kebebasan dan keadilan,” ujarnya.

Malahan dakwa Fadiah, dia dan rakan-rakannya juga tidak penat berdemonstrasi demi kebaikan rakyat.

“Kita tidak letih berdemostrasi, kawan-kawan saya sudah bertahun lama sudah berdemonstrasi untuk kebaikan dan keadilan rakyat.

“Tidak kenal erti letih, sebaliknya kami marah, tapi akan terus berjuang untuk demokrasi dan kebebasan bersuara,” katanya selepas ditemui di hadapan Bukit Aman selepas selesai diambil keterangan.

SEmentara itu, Fadiah Nadwa mengesahkan dia dan empat orang rakannya akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi esok untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tiada notis makluman daripada penganjur.

Empat rakan aktivis itu ialah Nik Azura Nik Narson, Liew Liang Hong, A.Sivarajan dan Wong Yan Ke yang membabitkan demonstrasi yang dilakukan di Dataran Merdeka pada 27 Februari lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan JSJ Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan rakaman keterangan telah diambil daripada peguam itu. – MalaysiaGazette