KUALA LUMPUR – ” Saya mahu beritahu betapa hebatnya bangsa kita pada orang”.

Itulah komen pensyarah Universiti Multimedia Melaka, Dr. Khair Razlan Othman kepada Malaysia Gazette setelah kisahnya memakai tanjak ketika menerima Ijazah Doktor Falsafah di majlis graduasi universiti terkenal dunia, Universiti Oxford, United Kingdom mula tular sejak semalam.

Menurut Dr. Khair Razlan, beliau sebenarnya mula memakai tanjak ‘lebih awal’ ketika di sana tetapi merasakan ia perlu diteruskan pada majlis graduasi berkenaan.

“Selepas viva saya dah pakai (tanjak) cuma untuk graduasi, saya fikir lagi ‘cantik’ sebab dapat perkenalkan hebatnya bangsa ni pada lebih ramai orang,” katanya ketika dihubungi di United Kingdom hari ini.

Dr. Khair Razlan bagaimanapun menyangkal tindakannya berbuat demikian kerana mengejar populariti.

Dalam tulisannya di Facebook, beliau menjelaskan, pemakaian tanjak itu juga sebagai salah satu cara memperkenalkan pakaian tradisi warisan berzaman, tanda budi dan tinggi peradaban bangsa.

“Bangsa ini sudah sekian lama mendiamkan diri. Sama ada malu atau memang tidak mahu. Sama ada ragu atau memang dalam keliru,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu yang tindakannya mengenakan tanjak sebagai pengganti mortar board (topi graduasi) semasa majlis graduasi berkenaan mendapat keizinan daripada pihak universiti.

“Saya bertanya juga hal itu sebelum masuk dewan, takut juga kalau-kalau ‘tak kena’ dengan majlis, namun Alhamdulillah mereka kata tidak ada masalah,” kata pemegang PhD dalam bidang inovasi kesihatan (kejuruteraan biomedikal) tersebut.

Anak kelahiran Felda Tunggal, Kota Tinggi, Johor itu juga berkongsi kesukaran yang terpaksa beliau tempoh dalam usaha untuk mendapatkan PhD daripada universiti terkenal dunia itu.

“Pengajian PhD saya bermula pada bulan Oktober 2010…lepas tu macam-macam halangan…viva saya hanya dapat dibuat pada bulan Mac 2019. Ia kemudian hanya diterima beberapa bulan kemudian setelah dibuat pembetulan.

“Macam-macam dugaan yang terpaksa saya tempoh…oh ya, saya juga pilih ‘tarikh lompat’ untuk majlis konvokesyen berkenaan,” katanya.

Menurut pensyarah berusia 39 tahun ini, selain bersyukur kerana berjaya memperoleh PhD, Dr. Khair Razlan juga terharu kerana usahanya mengumpul duit untuk membawa kedua ibu bapanya ke United Kingdom untuk melihat beliau menerima ijazah akhirnya berjaya direalisasikan. – Malaysia Gazette.