MyGO kini memiliki hampir 10,000 pemandu aktif.

KUALA LUMPUR – MyGO, syarikat e-hailing baharu di pasaran tempatan yang dikendalikan oleh SACKZ Exclusive Sdn. Bhd. tidak mahu menunggu lama mengukuhkan kedudukan di negara ini apabila merancang untuk melebarkan operasi ke Borneo sebelum akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, S Muraliraj, syarikat juga sedang meninjau peluang di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Brunei dan wilayah di Indonesia seperti Pontianak selepas mencatatkan prestasi luar biasa sejak beroperasi lima bulan lalu.

“Kami tidak menjangka operasi perkhidmatan kami meningkat dengan pantas dari segi keuntungan dan kini tiba masanya untuk kami melabur di kawasan baharu seperti Borneo.

“Pada masa sama, matlamat untuk mencapai 30,000 pemandu pada tahun ini juga berada di landasan yang betul memandangkan kini kami telah memiliki hampir 10,000 pemandu aktif,” katanya selepas melancarkan Hab MyGO Peringkat Kebangsaan di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi MyGO, S Muraliraj.

MYGO kini bertapak di semua 14 negeri sejak ia dilancarkan pada September tahun lalu.

Sementara itu, Muraliraj menambah, MyGO sentiasa kreatif untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan baru kepada penggunanya dengan memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan pada Mac depan.

“Berikutan kerjasama yang baik dengan PROTON pada tahun lalu, kami memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan EV Malaysia (EVAM) untuk memperkenalkan MyGO Meal, perkhidmatan penghantaran bermotosikal yang akan bermula di Sarawak.

“Melalui perkongsian ini, EVAM akan menyediakan beberapa skuter elektrik kepada pemandu untuk digunakan dalam perkhidmatan penghantaran makanan,” katanya.

MYGO kini bertapak di semua 14 negeri sejak ia dilancarkan pada September 2019..

Sebelum ini, MyGo menawarkan kereta Proton Saga 1.3 melalui skim sewa kepada pemilik yang berdaftar di bawah syarikat itu.

Muraliraj berkata, untuk tahun ini, syarikat merancang untuk memperkenalkan skim baharu kepada pemandunya.

“Selepas memperkenalkan pelbagai skim seperti pemilikan kereta dan saham syarikat percuma, MyGO ingin memperkenalkan skim insentif pemandu baru kepada pemandu kami.

“Skim baharu ini akan menawarkan pendapatan pasif kepada pemandu kami termasuk wang persaraan dan skim lain yang boleh diwarisi menerusi pembayaran komisen 0.3 peratus daripada pendapatan bulanan pemandu yang diperkenalkan,” katanya. – MalaysiaGazette