Sebahagian orang awam memakai topeng penutup mulut dan hidung bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan perlu dilantik segera dalam usaha memastikan wabak Covid-19 yang sangat membimbangkan dapat kawal.

Itu pandangan Exco Nasional, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Dr. RR Ramli yang memberitahu, langkah itu perlu segera dilakukan ekoran pada masa ini Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dilihat bertungkus-lumus bagi memastikan keadaan tidak mencemaskan.

Beliau berkata, situasi akan bertambah rumit dengan gelombang kedua yang pasti lebih sukar untuk dikawal dan kerajaan perlu peka dengan kebajikan petugas-petugas yang sentiasa dalam keadaan siapsiaga serta sentiasa memberikan sepenuh tenaga demi tugas.

“Pelantikan Menteri Kesihatan hendaklah menjadi agenda utama dan disegerakan untuk membantu memudahcara dan memastikan kelancaran bantuan kewangan, sokongan moral, bantuan peralatan yang mencukupi dan juga memastikan koordinasi antara kementerian yang lebih lancar dan teratur.

“Beban ini tidak seharusnya diletakkan di atas bahu penjawat awam sahaja, tetapi eksekutif perlu memainkan peranan dan sedia menggalas tanggungjawab ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

RR Ramli berkata, menteri yang dilantik juga perlu mengemukakan peruntukan dana khas tambahan kepada kementerian dan bagi tujuan itu menteri perlu mencari jalan untuk memperuntukkan dana tambahan bagi tujuan khas mencegah, menyaring, merawat dan membasmi wabak Covid-19.

Ujarnya, rakyat juga perlu didedahkan dengan maklumat terkini dan informasi serta nasihat bagi mengelakkan jangkitan dan ia perlu disampaikan secara menyeluruh.

“Beban wabak Covid-19 ini juga tentunya akan memberi tekanan kepada kewangan hospital, dan tentunya akan ada pengaliran peruntukan daripada sesetengah bahagian dan jabatan dalam hospital kepada usaha untuk mencegah Covid-19.

“Maka, penambahan peruntukan khas ini diharap dapat meminimakan kesan Covid-19 kepada aktiviti-aktiviti lain di hospital-hospital kerajaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette