Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr. Habibah Abdul Rahim (dua kiri) menunjukkan buku laporan keputusan SPM2019 pada Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2019 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Seramai 8,867 calon mendapat keputusan cemerlang selepas memperoleh semua A dalam semua pelajaran pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 berbanding 8,436 calon pada tahun 2018.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, seramai 77,038 calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 2,678 calon berbanding 74,360 calon pada tahun 2018.

Menurut beliau, seramai 147,738 calon pula mendapat sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2019 meningkat sebanyak 69 calon berbanding tahun 2018.

“Seramai 337,773 calon layak dianugerah sijil SPM selepas lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Justeru keputusan SPM 2019 telah merekodkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.87 berbanding 4.89 pada 2018,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2019 di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Habibah, jurang pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar bertambah sebanyak 0.01 pada tahun 2019 berbanding tahun 2018.

Ini kerana, katanya, peningkatan pencapaian calon di luar bandar sebanyak 0.04 iaitu GPN 5.14 berbanding 5.18 pada 2019 manakala pencapaian calon di bandar adalah 4.70 beza 0.05 pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, secara keseluruhan, 56 peratus calon menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan baik.

Sementara itu, 389,498 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM pada tahun 2019 di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, 357,010 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan dan 8,320 adalah calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, 8,317 adalah calon sekolah menengah agama negeri; 2,209 adalah sekolah menengah agama rakyat; manakala 14,203 adalah calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM; dan 26,357 adalah calon Persendirian.

Dalam pada itu, semua calon SPM 2019 boleh memperoleh keputusan daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi ini pada tarikh tersebut.

Calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

Sementara itu, semakan keputusan SPM 2019 juga boleh dilakukan menggunakan perkhidmatan mySMS 15888 dengan menaip SPMAngkaGiliran dan SMS ke 15888.

Perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi ini dan akan ditamatkan pukul 6 petang 11 Mac ini.

Semakan keputusan juga boleh dilakukan melalui portal Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my/semakan. – MalaysiaGazette