Kes pertama positif Covid-19 dilaporkan di Vatican City

VATICAN CITY – Vatican City mengesahkan pesakit pertama positif Covid-19 (koronavirus), sehari selepas Paus Francis diuji negatif virus tersebut.

Jurucakapnya, Matteo Bruni berkata, penemuan itu diperolehi pada semalam selepas salah saorang daripada kira-kira 1,000 penduduknya menjalani menjalani ujian Covid-19 dan segala perkhidmatan pesakit luar di klinik Vatican digantung serta merta untuk kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun rawatan kecemasan tetap diteruskan.

Lembaga Kesihatan Itali telah dimaklumkan mengenai kes pertama positif Covid-19 itu.

Semalam, seorang kakitangan di Vatican dikuarantin selepas dikhuatiri dijangkiti virus itu.

Pekerja itu mempunyai kontak dengan paderi Perancis yang telah dirawat di hospital di Paris dan diisolasikan sebagai langkah berjaga-jaga.

Namun tak dapat dipastikan kedua dua kes itu saling berkait rapat atau sebaliknya.

Paus Francis, 83, membatalkan semua majlis awam pada minggu lalu ekoran tidak sihat.

Beliau diberikan ujian rutin selepas jatuh sakit pada Rabu lalu dengan simptom sejuk, batuk, demam dan sakit tekak. – Agensi