Hisham Hamdan

KUALA LUMPUR- Pesakit Kes 26 yang disahkan jangkitan COVID-19, Datuk Hisham Hamdan, yang sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, hari ini mengesahkan lawatan beliau ke Shanghai pada Januari tiada kaitan dengan pengesahan positif virus itu.

Hisham, yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad berkata, beliau berada di Shanghai menghadiri persidangan dari 13 hingga 17 Januari, tetapi kes pertama yang direkodkan di Shanghai pada 20 Januari.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia untuk menangguhkan atau mengelakkan perjalanan ke China pada 25 Januari dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara rasmi mengisytiharkan situasi coronavirus sebagai darurat kesihatan awam susulan kebimbangan antarabangsa pada 30 Januari.

“Ini semua berlaku selepas saya pulang dari Shanghai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Isu kedua ialah semua penyelidikan saintifik dan perubatan yang kita tahu setakat ini menunjukkan tempoh inkubasi virus itu adalah dua minggu.

“Memandangkan saya pulang pada 17 Januari dan mendapat simptom pada 27 Febuari, dan berdasarkan penyelidikan perubatan – tidak mungkin saya mendapat virus itu ketika berkunjung ke Shanghai,” katanya.

Hisham berkata beliau menerima keputusan pertama ujian positif pada 28 Februari dan keputusan positif itu disahkan pada 29 Februari.

“Gelombang kedua kes COVID-19 di Malaysia dikaitkan dengan saya, yang saya fikir jelas. Tetapi dikaitkan dengan saya dan (jangkitan) berasal dari saya adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Hisham berkata beliau ada menghadiri majlis kementerian atas kapasiti sebagai pengerusi UDA pada 27 Februari, tetapi beliau juga menjelaskan tidak menghadiri sebarang majlis politik.

Katanya beliau percaya KKM masih bekerja dengan gigih dan wajar dipuji kerana masih berusaha untuk mengenal pasti Pesakit Sifar.

“Kita perlu memberi sokongan penuh kepada KKM untuk mengenal pasti Pesakit Sifar. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perubatan KKM yang bekerja secara profesional atas khidmat bakti mereka kepada negara.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai agar menggunakan fakta sebelum menyebarkan berita atau pandangan dan menghormati kerahsiaan dan privasi individu yang sedang menjalani pemulihan mereka,” katanya.

Sehingga hari ini, KKM mengesahkan 83 kes positif COVID-19 di Malaysia dengan 23 daripada mereka telah keluar hospital. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast