LONDON – Tujuh pasukan Formula Satu (F1) telah menulis surat kepada badan pentadbiran Persekutuan Automobil Amntarabangsa (FIA) menuntut penjelasan mengenai kemelut enjin Ferrari.
Surat itu sulit tetapi BBC Sports mendedahkan ia mengandungi senarai pertanyaan mengenai penyelesaian secara rahsia yang dicapai FIA bersama Ferrari dalam kontroversi enjin pasukan jentera berpusat di Itali itu.
Pada Khamis, FIA mengakui pihaknya mempunyai keraguan terhadap enjin Ferrari yang tidak sah sepanjang musim 2019 tetapi tidak dapat membuktikannya dengan dokumen sokongan.
Surat yang dianggap sulit itu mengandungi tarikh akhir yang diberikan oleh setiap pasukan itu yang menuntut jawapan FIA.
Surat itu ditandatangani pasukan sama pada Rabu lalu mengeluarkan kenyataan kolektif menyatakan bantahan mereka terhadap kesepakatan antara FIA dan Ferrari.
Malah ketujuh-tujuh pasukan itu menyatakan ketegasan akan mendedahkan penuh dan tepat skandal berkenaan dan meluahkan hak mendapatkan rujukan undang-undang menuntut ganti rugi setimpal.
Tujuh pasukan yang menuntut penjelasan FIA mengenai kontroversi enjin Ferrari adalah Mercedes, Red Bull, McLaren, Renault, Racing Point, Alpha Tauri and Williams.
Bagaimanapun satu-satunya pasukan yang tidak menandatangani surat tuntutan itu adalah Ferrari dan pelanggan enjin mereka Alfa Romeo dan Haas.
Kesemua pasukan itu juga menolak permintaan BBC Sports untuk berkongsi kandungan surat yang dialamatkan kepada FIA dan pemegang hak komersial Kumpulan FIA.
Bagaimanapun pasukan berkenaan sangat bimbang dan ingin mengambil tahu tentang beberapa perkara berbangkit yang memerlukan penjelasan segera.
Antaranya kenapa FIA merasakan tidak dapat membuktikan keraguannya mengenai kesahihan enjin Ferrari di sisi undang-undang dan kenapa kata sepakat FIA dan Ferrari berlaku secara sulit tanpa didedahkan kepada umum.-MalaysiaGazette