KUALA LUMPUR – Pertembungan Selangor dan Perak bakal menjadi perlawanan tumpuan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada perlawanan kedua CIMB Liga Super 2020, malam ini.
Skuad Gergasi Merah sebelum ini berdepan masalah untuk menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah susulan isu keselamatan membabitkan masalah bumbung dan SNBJ akan menjadi venue alternatif untuk pertembungan dua pasukan itu.
Apa yang pasti, ia akan menjadi satu perlawanan yang paling dinanti-nantikan oleh penyokong kerana kedua-dua pasukan itu pamer prestasi memberangsangkan dalam perlawanan pertama untuk meraih tiga mata.
Perak ketika ini menduduki tangga teratas liga apabila raih kemenangan 3-1 ke atas Terengganu pada minggu lalu manakala Selangor ketika ini di kedudukan ketiga selepas menewaskan Pahang 2-1.
Menurut pengendali Perak, Mehmet Durakovic, beliau tidak menafikan kehadiran bekas anak buahnya, Brendan Gan ke dalam pasukan Selangor benar-benar memberi impak positif kepada lawannya itu dan menjangkakan aksi yang cukup sengit bakal berlaku pada malam ini.
“Brendan merupakan seorang pemain yang sangat-sangat bagus dan Selangor begitu bertuah kerana memiliki pemain berkualiti sepertinya.
“Untuk Perak, sudah pasti ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana bekas pemain kami kini bersama pihak lawan dan kerja keras perlu dilakukan untuk kami menguasai keseluruhan permainan.
“Walau apa pun, saya tetap berbangga dengan pemain-pemain yang saya ada ketika ini apabila mereka sudah membuktikan kemampuan dengan kemenangan pertama minggu lalu dan mereka perlu mempamerkan komitmen lebih tinggi untuk aksi malam ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kedah dan Terengganu juga dijangka akan mempamerkan pertarungan sengit selepas kedua-dua pasukan itu masih belum mendapat sebarang mata apabila tewas dalam perlawanan pertama, minggu lalu.
Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain tidak menolak pasukannya begitu dahagakan kemenangan pertama dan menyifatkan Kedah juga pastinya akan kembali bangkit selepas kecewa dalam aksi CIMB Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu.
“Memang kedua-dua pasukan ini sangat dahagakan kemenangan pertama dan kelebihan untuk Kedah sebenarnya kerana mereka akan beraksi di laman sendiri.
“Untuk Terengganu, saya sudah memberitahu kepada semua pemain agar segera bangkit dan belajar daripada kesilapan ketika menentang Perak minggu lalu untuk memastikan tidak tersungkur buat kali kedua minggu ini.
“Mengenai dua pemain import baru kami, Dominyque da Sylva dan Babacar Diallo, mereka sebenarnya memang bagus, cuma sekarang masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan tempo permainan Liga Malaysia”, katanya.
Sementara itu, dua perlawanan CIMB Liga Super akan berlangsung terlebih dahulu pada malam ini iaitu PJ City yang akan melakukan perhitungan dengan Pahang di Stadium Shah Alam diikuti Melaka menentang PDRM di Stadium Hang Jebat.
Selain daripada aksi Selangor dan Kedah selaku tuan rumah pada malam esok, dua lagi perlawanan akan turut berlangsung membabitkan Sabah yang akan menentang Felda United manakala JDT bakal menerima kunjungan UiTM FC. – MalaysiaGazette