Tan Sri Rafidah Aziz berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia di D'Attap Ballroom Sungai Buloh, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 MAC 2020

SUNGAI BULOH – Golongan wanita tidak perlu terlalu cenderung mengejar kedudukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di luar sebaliknya perlu memastikan diri sendiri mempunyai ciri-ciri kepimpinan terbaik di rumah dan keluarga sendiri.

”Jangan sibuk kejar menjadi CEO luar, jadi CEO terbaik di rumah dulu. Sambil kita perjuangkan hak kita di luar rumah, pastikan hak kita di dalam rumah sentiasa terbaik dan terurus dengan bijaksana yang mampu menjamin kesejahteraan keluarga,” tegas Tan Sri Rafidah Aziz.

Tegasnya, dunia sekarang menyaksikan ramai orang bermati-matian berebut untuk menjawat kerusi, seolah-olah kerusi itu milik seseorang pemimpin dan dianggap pemimpin tersebut berjaya apabila memperoleh kerusi berkenaan.

“Sebenarnya kerusi atau jawatan tidak menentukan pemimpin, tapi pada sifat seseorang itu dan sebab itu, pentingnya kita bincang soal integriti dan kepimpinan seorang wanita, isteri dan ibu di rumah dan keluarga.

“Seorang emak atau bapa yang menunjukkan kepimpinan dan kebijaksanaan menguruskan hal ehwal rumah tangga jauh lebih baik daripada wakil rakyat yang tak buat kerja.

“Nilai integriti, prinsip kepimpinan, keikhlasan dan kejujuran itu penting untuk seseorang ketua keluarga iaitu suami dan isteri bersama-sama menguruskannya.

”Ia juga termasuk untuk wanita yang menjadi pemimpin,.. jangan cakap di 10 tempat dengan 10 percakapan yang berbeza, itu bukan kepimpinan sebaliknya hanya haru-birukan masyarakat dan negara sahaja,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Kuang dekat sini.

Rafidah juga mahu wanita mengutamakan kepimpinan jati diri dan pembangunan diri tanpa melihat sebarang perbezaan jantina atau kaum.

Menurut beliau, kuota 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam negara ini tidak seharusnya dijadikan cerita atau debat setiap masa kerana sumbangan wanita sebenarnya lebih luas setiap hari.

“Kuota 30 peratus wanita..apa cerita ini, itukah sumbangan wanita yang diperlukan? Kita tak perlukan bilangan 30 atau 40 peratus wanita, sebaliknya kita mahu kaum hawa yang berkemampuan, berkebolahan kerana tidak ada gunanya ada kuota kalau separuh dari mereka memang tidak boleh menyumbang kepada pembangunan wanita, masyarakat dan negara.

“Ini bukan perang terhadap kaum lelaki kerana sudah lama wanita menjadi pembuat keputusan dengan melaksanakan tugas memimpin keluarga dari pagi hingga malam, dari pagi hingga sebelum tidur, isteri dan ibu memikirkan keperluan suami dan anak dan menjalankan tugas tanpa bersara .

“Maka kita ubah sikap ini dan didik anak, cucu dengan kepimpinan baik tanpa meletakkan sekatan sekadar 30 peratus sumbangan mereka,, alihkan had itu..yang penting wanita muda hari ini jangan kita biarkan ada sekatan luaran atau dalaman optimum dan memaksimumkan keupayaan kita.

“Kita wanita tidak perlu berperang dengan lelaki tuntut kesaksamaan gender, tapi berperang dengan diri kita dan menyemak apa kekurangan kita.. jika saya ukur sendiri kekurangan saya adalah jenis yang tidak sabar ya..bukannya sudah tua.,” katanya.

Menurut Rafidah, wanita perlu menjadi pemimpin terbaik yang sama taraf dengan lelaki, tidak kisah berapa pun jumlah mereka tetapi menjadi “lead to be the equal to the best”.

“Saya sudah 54 tahun dalam perjuangan politik, saya nak tanya anda berapa kali sebagai ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG di sekolah anak?

”Tapi boleh hadir mesyuarat tergempar, mesyuarat pintu belakang sibuk nak jaga dunia luar tapi dalam rumah tak dijaga.

“Jadi jangan salahkan guru, sekolah dan sebagainya, salahkan diri sendiri kalau tak dapat bentuk anak sebagai penyumbang negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.