Azhari Shaari
Azhari Shaari

SHAH ALAM – Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan hari ini merupakan kombinasi terbaik di antara golongan politik dengan profesional.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yakin bahawa gabungan itu mampu memulihkan kepercayaan rakyat dan dunia luar.

“Kita sudah dapat balik kerajaan yang benar-benar membantu dan melihat masalah rakyat.

“Salah seorang senator yang dilantik adalah Pengerusi CIMB dan Hal Ehwal Agama pula bekas Mufti Wilayah, ini satu pembaharuan.

“Jadi ia satu gabungan baik akan membawa Malaysia ke arah lebih yakin untuk pihak luar, pelabur untuk datang balik ke Malaysia sekaligus memulihkan semula ekonomi kita,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Jemaah Menteri Kabinet PN yang didedahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), awal hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Muhyiddin dalam satu kenyataan melalui siaran langsung di kaca televisyen tempatan tepat jam 5 petang tadi.

Dalam pada itu, Azhari juga berkata, UMNO Bahagian Shah Alam menerima baik keputusan kerajaan hari ini yang dianggap lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Sudah tentu cadangan-cadangan telah dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin parti khususnya daripada UMNO dibuat untuk kebaikan semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette