Gambar hiasan

Kemelut politik negara baru-baru ini turut menimbulkan sedikit keresahan terhadap kedudukan ekonomi negara. Kadar pertukaran mata wang asing negara iaitu ringgit berbanding US dolar menunjukkan kesan kejatuhan. Ringgit mengalami susut nilai sebanyak 3.3 peratus iaitu berubah dari 4.19 kepada
4.22 per US dolar. Ini merekodkan kemerosotan nilai mata wang tempatan, iaitu ringgit yang menjadikan kos dan juga harga barangan atau input dari luar negara menjadi lebih mahal.

Apakah penjelasan disebalik fenomena ini? Jika dilihat, ketidakstabilan ini pastinya memberikan kesan terhadap para pelabur kerana keadaan ini tidak menyajikan persekitaran perniagaan yang kondusif. Sudah pasti, para pelabur menjadikan krisis kempimpinan negara ini sebagai asas untuk menilai kembali keputusan pelaburan yang dibuat.

Terkesan dengan keadaan ini, ada dalam kalangan pelabur yang mengambil sikap berhati-hati dengan “tunggu dan lihat” sebelum membuat atau meneruskan momentum pelaburan. Bagi pelabur yang merasa bimbang akan risiko yang bakal dihadapi ekoran ketidaktentuan ini, maka mereka akan mengalihkan pelaburan
mereka ke tempat atau ke negara lain.

Proses ini secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana pelabur akan mencairkan aset mereka sebelum membawa keluar ke negara lain. Ini bukan sahaja merugikan negara dari segi nilai pelaburan yang hilang, akan tetapi negara juga akan merasai kesan kejatuhan kadar pertukaran mata wang asing.

Apabila sejumlah pelaburan dialir keluar negara, maka melalui mekanisme pasaran nilai mata wang negara, iaitu ringgit akan mengalami penguncupan nilai. Ini kerana, ringgit tidak lagi digunakan untuk urusan pelaburan atau sebarang bentuk aktiviti
perniagaan. Ini akan mengwujudkan keadaan di mana terdapat lebihan ringgit di pasaran pertukaran asing. Ini bermakna jumlah penawaran ringgit yang didagangkan adalah melebihi jumlah permintaan.

Justeru, nilai ringgit akan melalui proses susut nilai berbanding mata wang utama dunia seperti US dolar. Dalam erti kata lain, semasa negara di dalam keadaan krisis politik, para pelabur lebih memilih untuk tidak berurusan dengan kita. Sebaliknya,
mereka akan mengalihkan dan meneruskan aktiviti pelaburan dan perniagaan di negara yang mempunyai sistem politik yang lebih stabil yang mana dapat memberikan lebih peluang dalam meraih keuntungan.

Kemampanan ekonomi negara adalah dirangsang oleh keutuhan keadaan politik semasa. Apabila terdapat sesuatu keadaan atau krisis kepimpinan sesebuah negara, maka akan mengundang pelbagai reaksi termasuk ketidakstabilan di dalam pasaran. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Dr. Mohd Naseem Niaz Ahmad, Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sebab itu kerajaan harus melantik menteri yang berwibawa yang berjuang untuk kestabilan politik dan ekonomi demi memajukan negara dan rakyat bukan menteri yang hanya memikirkan kekayaan diri keluarga dan kroni dan bukan jugak menteri yang asyik berpolitik hingga meletakan halatuju kementerian yang di terajui.

Comments are closed.