Sebahagian para media yang membuat liputan pengumuman anggota Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Putra Perdana hari ini menjadi tumpuan lebih 150 pengamal media yang membuat liputan mengenai pengumuman jemaah Kabinet baharu.

Kesemua mereka yang terdiri daripada media tempatan dan antarabangsa mula memasuki Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu seawal jam 2.30 petang biarpun dewan taklimat ini mula dibuka jam 3.30 petang tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dijadual mengumumkan senarai penuh jemaah Menteri dan Timbalan Menteri di bawah pentadbirannya.

Terdahulu, satu perjumpaan antara Muhyiddin dan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengambil tempat di kediaman rasmi Muhyiddin di Sri Perdana.

Antara Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) yang kelihatan adalah Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan.

Bekas pemimpin PKR iaitu Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin juga  kelihatan.

Kelihatan juga Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Faizal Azumu selaku Ahli Parlimen Tambun.

Kelihatan beberapa pemimpin daripada Pas iaitu Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merangkap Presiden PAS, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.

Kesemua mereka mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin kira-kira jam 3 petang tadi.

Pengumuman senarai Jemaah Menteri bagi Kabinet baharu itu dibuat selepas lebih seminggu Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, pada 1 Mac.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Semuga semua nya direstui Allah swt.Sasiapa yg menjawat Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri diharap semuga dapat menjalankan tugasan dengan amanah dan berintergriti serta dapat mengangkat seluruh rakyat keluar dari kemiskinan tegar terutamanya Golongan B40.Selamat maju jaya dan janganlah menikam TSMY dari belakang. Aamiiin.

  2. Tidak kira siapa pun yg membarisi jemaah menteri, yg penting dan utama bersikap merendah diri serta cakna rakyat. Buanglah sikap sombong dan mementing diri sendiri. Buatlah yg terbaik utk rakyat dan negara. Berilah komitmen dgn jujur dan ikhlas. Usah retorik dan kosmetik konon berjuang utk agama, bangsa dan negara.

Comments are closed.