Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan cabaran yang menanti kerajaan baharu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sangat luar biasa.

Katanya, pengaruh, kekuatan dan kelangsungan Perikatan Nasional amat bergantung kepada prestasi Jemaah Menteri yang dilantik.

“Perdana Menteri telah membentuk Kabinetnya dan saya mengucapkan setinggi tahniah kepada mereka yang telah dilantik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya memberikan Perdana Menteri dan Kabinetnya ruang serta peluang untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan mereka.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua anggota Jemaah Menteri Perikatan Nasional,” katanya.

Semalam Muhyiddin mengumumkan anggota Jemaah Menteri yang menyaksikan 11 ahli Parlimen Barisan Nasional iaitu sembilan daripada mereka dari UMNO dilantik menteri penuh. – MalaysiaGazette