Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap kepada media selepas Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Melawati, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji akan melakukan yang terbaik dan meminta diberi ruang untuk membuktikan keikhlasan beliau dalam memikul amanah yang diletakkan di atas bahunya.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati sini, Ahli Parlimen Sembrong itu turut melahirkan rasa syukur dan gembiara di atas peluang yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebagai Menteri Luar apa yang penting adalah membawa mesej bahawa Malaysia mempunyai banyak potensi dan hubungan yang telah dibina dengan negara luar secara dua hala.

“Malah bekas rakan sejawat (Saifuddin Abdullah) masih lagi kekal dan esok saya nak wujudkan semula hubungan tersebut,” katanya.

Saifuddin kini merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Menurut Hishammuddin, beliau akan melapor diri di Wisma Putra esok dan mahu mendengar sendiri daripada pimpinan tertinggi tentang apa keutamaan mereka.

Bekas Menteri Pertahanan itu juga yakin bahawa beliau bersama-sama timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaafar mampu menunjukkan kepada dunia bahawa apa dilalui sebelum ini bukan perkara yang boleh menjejaskan asas kukuh yang telah dibina untuk negara selama ini.

“Saya harap media beri saya masa dan ruang untuk lakukan perkara yang perlu. Saya sangat gembira untuk berada di Wisma Putra,” katanya. – MalaysiaGazette