Senator, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menurunkan tandatangan selepas mengangkat sumpah semasa Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak sabar-sabar untuk memulakan tugas baharunya sebagai Menteri Kewangan selepas proses mengangkat sumpah selesai hari ini.

Walaupun beliau menyedari bahawa tugas baharunya bukan mudah, namun komited untuk melakukan pembaharuan dan penambahbaikan sebaik sahaja memulakan tugasnya itu, tengahari ini.

“Saya akan melaporkan diri di Kementerian Kewangan selepas habis angkat sumpah di Istana Melawati, Putrajaya, hari ini.

“Seperti mana anda tahu saya bukan ahli politik, (tapi) saya akan lakukan yang terbaik untuk lihat apa yang kita boleh lakukan.

“Kita tahu sekarang adalah waktu yang sangat mencabar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul bersama lima Menteri dan Timbalan Menteri lain mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Speaker Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran.

Antaranya ialah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa beliau akan diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebelum memulakan tugas baharunya, hari ini.

“Benarkan saya mulakan tugas dahulu, saya akan diberi taklimat dahulu oleh KSP dan pasukannya.

“Selepas itu adalah lebih baik untuk saya memberikan pandangan.

“Saya fikir apa yang kita perlu sekarang ialah fokus kepada cabaran di hadapan dan saya harap semua orang tahu apa cabaran itu iaitu ekonomi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.