Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

PUTRAJAYA – Parti Islam SeMalaysia (Pas) memberi jaminan bahawa kesemua 18 ahli Parlimen parti itu akan mengisytiharkan harta kepada Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu sudah dipersetujui sebagaimana yang diminta oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bagi kita, kita setuju bawa (isytihar harta) sebab sekarang kita kerajaan, kita akan isytihar (harta).

“Ini jaminan saya bahawa seluruh 18 ahli Parlimen Pas akan isytihar harta,” katanya pada sidang media di pejabat kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin hari ini meminta semua anggota Kabinet dikehendaki mengisytiharkan harta dalam tempoh sebulan.

Jemaah Menteri diingatkan tentang komitmen untuk menentang dan banteras rasuah pada mesyuarat Kabinet sulung yang dipengerusikan Perdana Menteri itu, pagi ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, kesemua Menteri dan Timbalan Menteri daripada Pas bersetuju untuk mengisytiharkan harta sebagai yang dikehendaki Perdana Menteri.

“Semua Menteri dan Timbalan Menteri (Pas) akan isytihar (harta),” katanya.

Meskipun Pas sebelum ini lantang membantah cadangan isytihar harta dibawa ke Parlimen, namun beliau berkata, ia adalah isu berbeza.

“Isu yang timbul di Parlimen adalah isu lain. Isunya ialah tentang sumber kuasa.

“Sumber kuasa tiada hak ke atas bukan ahli Parlimen, macam nak kita nak minta bukan ahli Parlimen.

“Kalau nak isytihar isteri dan anak-anak, apa hak Parlimen sebab mereka bukan ahli Parlimen,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu Pas mendapat jawatan dalam Kabinet paling kecil, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu tidak timbul kerana parti tersebut bekerja sebagai satu pasukan.

“Sebenarnya kita bekerja bersama dengan satu pasukan dalam Perikatan Nasional

“Jawatan kecil atau besar kita bersama-sama dengan parti komponen bagi membentuk sebuah kerajaan yang diharapkan oleh rakyat seluruhnya.

“Tiada masalah, yang penting kita akan buktikan kemampuan kita dan rakyat dapat merasai keberadaan Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya. – MalaysiaGazette