SHAH ALAM – Badi terus menghantui Kedah untuk meraih kemenangan pertama musim ini apabila diikat ‘budak universiti’, UiTM FC 1-1 pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.

Namun, satu mata yang diraih cukup berharga buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu selepas mereka tewas dalam dua aksi terdahulu sementara UiTM FC mencipta sejarah tersendiri meraih mata pertama mereka dalam kancah Liga Super.

Pada aksi terbabit, Kedah mendapat gol pertama pada minit ke-30 apabila sepakan melencong Kpah Sherman daripada luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol UiTM FC, Muhd Norhaziq Mohd Aris untuk gol pertama perlawanan.

UiTM FC yang tidak jemu mencari gol berhasil apabila hantaran jauh Shafiq AlHafiz disudahkan oleh Gustavo Almeida pada minit ke-81 sekali gus mengubah kedudukan kepada 1-1.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) Lee Tuck menyelamatkan maruah skuad Penyu apabila jaringannya dalam masa kecederaan mengikat Selangor 3-3 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Dalam perlawanan lain, Perak berjaya mengalahkan PJ City 2-0 di laman sendiri manakala Felda United turut berjaya mata penuh selepas menewaskan Melaka United 3-2. – MalaysiaGazette