Hamidin bersama jawatankuasa FAM dan MFL sebelum menangguhkan aksi liga domestik disebabkan situasi semasa Coronavirus di Kelana Jaya pagi ini. Foto:FAM Officials

KUALA LUMPUR – Semua perlawanan saingan Liga Malaysia 2020  ditangguhkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) berkuatkuasa Isnin ini, 16 Mac 2020.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan itu diambil demi kepentingan dan kesejahteraan semua pihak khususnya rakyat Malaysia.

Katanya, keputusan menangguhkan perlawanan domestik itu turut membabitkan saingan liga amatur kelolaan Amateur Football League (AFL) serta pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) kelolaan FAM.

Menurutnya, keputusan itu dicapai secara perbincangan bersama dengan Rakan Kongsi Liga, wakil Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan penaja di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

“Bagaimanapun, kami hanya membenarkan perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier berlangsung pada minggu ini tanpa penyokong sebelum menangguhkan aksi domestik sehingga tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas hari ini, perlawanan keempat CIMB Liga Super, Liga Premier, Piala Belia dan MPFL 2020 yang dijadualkan berlangsung pada hari ini, Sabtu dan Ahad akan diteruskan namun tanpa penyokong di stadium susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

“Selepas perlawanan keempat CIMB Liga Super dan Liga Premier minggu ini, kami membuat keputusan untuk menangguhkan saingan Liga Malaysia 2020 termasuk saingan Shopee Piala FA dan kejohanan kelolaan FAM sehingga pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan media di Kelana Jaya tengahari tadi.

Walaupun perlawanan minggu ini diteruskan, namun katanya, FAM memandang serius mengenai isu COVID-19 dan langkah berjaga-jaga diambil dengan membenarkan pasukan liga beraksi di stadium kosong.

Selain itu, jelas beliau pihaknya telah memberikan garis panduan bermain stadium tanpa penyokong kepada setiap pasukan.

“Ia keputusan sukar tetapi saya percaya ini adalah yang terbaik untuk pemain, pegawai, penyokong dan keseluruhan industri bola sepak tanah air.

“Justeru, bermula Isnin depan, kesemua perlawanan domestik ditangguhkan sehingga isu COVID-19 selesai selepas mendapat khidmat nasihat daripada KKM untuk menjalankan semula pertandingan.

“Semua pasukan sudah pun dimaklumkan mengenai keputusan ini dan mereka jelas memberikan sokongan penuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamidin turut memberitahu pasukan kebangsaan tidak akan menjalani latihan pusat, selain mengesahkan tiada perlawanan persahabatan sepanjang bulan ini selepas mengambil kira garis panduan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama termasuk pengendali liga sosial sebagai usaha menangani isu serius iaitu wabak COVID-19 yang semakin merebak dalam negara.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya turut merancang untuk mengisi perlawanan domestik ke dalam slot perlawanan antarabangsa memandangkan tiada sebarang perlawanan persahabatan yang melibatkan pasukan kebangsaan pada bulan ini.

“Namun cadangan itu tidak dapat diteruskan kerana kita mahu mengutamakan keselamatan semua pihak kerana kita sedar wabak COVID-19 ini adalah permasalahan global, maka kami harus mengambil langkah proaktif dan harus melaksanakan keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan semua pihak.

“Kami berharap dengan keputusan yang dicapai hari ini dapat meleraikan tanda tanya pasukan, penyokong mengenai status Liga Malaysia musim 2020 dan kami yakin keputusan ini adalah untuk kebaikan bersama dalam usaha kita mencegah wabak COVID-19 ini daripada terus merebak.

“Saya juga ingin mengingatkan dan menasihatkan kepada persatuan bola negeri yang menjalankan liga-liga negeri dan juga pengendali liga sosial supaya mematuhi arahan ini dengan menangguhkan sebarang aktiviti luar kerana wabak ini cepat menular.

“Marilah kita semua berdoa agar wabak COVID-19 ini dapat ditangani segera dan kita akan dapat meneruskan semula saingan bola sepak di negara kita ini dan juga aksi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa seperti biasa,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette