Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mempersoalkan mengapa gaji pekerja-pekerja bawahan terutama kru kabin dan pekerja lapangan sentiasa menjadi pihak pertama yang dipotong semasa syarikat penerbangan mengalami kesulitan atau berdepan sebarang krisis syarikat.

Menurutnya, ia merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal dan munasabah kerana kru kru kabin sudah pun terjejas dengan banyak pembatalan jadual penerbangan sejak laporan kes Covid-19 dilaporkan di luar dan dalam negara.

Dakwa NUFAM, penularan wabak itu telah menyebabkan pembatalan penerbangan dan jadual hingga ramai kru kabin mengalami kekurangan pendapatan dari segi elaun penerbangan bulanan.

Ramai pekerja mendakwa pendapatan daripada elaun dan gaji bulanan terjejas sehingga 50%.

”Dengan pengurangan itu, syarikat penerbangan telah pun menjimatkan kos. Oleh itu, ia tidak adil untuk memotong lagi pendapatan elaun atau gaji kru kabin ini.

”Apatah lagi, ramai pekerja yang masih baru dan belum mendapat gaji tetap dan elaun penuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Malaysia Airlines Berhad dan Air Asia mengesahkan para pekerjanya telah dimaklumkan boleh mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela untuk beberapa bulan yang akan datang.

NUFAM juga memberitahu, kesatuan itu masih menunggu laporan selanjutnya dari pihak pekerja Malindo Air yang mungkin telah dikenakan tindakan potongan gaji 50%.

”Ini sama sekali akan melanggar syarat dan undang undang Akta Kerja jika majikan Malindo Air meneruskan potongan 50 peratus dari gaji pekerja mereka.

”Ini berlaku selepas syarikat penerbangan itu melaporkan kerugian akibat pembatalan penerbangan sehingga April dan selepas sekatan perjalanan oleh negara-negara destinasi berikutan wabak Covid-19.,” ujarnya

NUFAM mengesa syarikat penerbangan di Malaysia mencari jalan terbaik untuk mengurangkan kos pembelanjaan mereka dalam menghadapi kesan ekonomi akibat Covid-19.

Jelasnya, terdapat banyak pilihan lain yang masih terbuka kepada syarikat penerbangan untuk menjimatkan kos syarikat, salah satu adalah memotong elaun pihak pengurusan yang bergaji tinggi dan tuntutan pembelanjaan atau elaun pihak pengurusan.

Kepada kru kabin, NUFAM menasihatkan agar semua mempertimbangkan tawaran cuti dan potongan gaji elaun dari syarikat dan menasihatkan para pekerja ini tidak menandatangani apa-apa perjanjian sehingga mereka mendapat kepastian daripada pihaknya atau Jabatan Tenaga Kerja.

“Beberapa syarikat penerbangan mungkin tidak memberikan butir-butir yang lebih di dalam surat tawaran mereka kepada pekerja-pekerja, mungkin akan membuat pekerja dalam keadaan dilema,”.

“Kami menggesa para pekerja untuk menghubungi NUFAM jika mereka tidak pasti dengan syarat-syarat tawaran cuti tanpa gaji,” katanya sambil menambah sebarang elaun yang dipotong ke atas pekerja akan memberi kesan besar kepada golongan gaji rendah.

NUFAM juga menggesa kerajaan memberi elaun kritikal sebanyak RM200 yang telah disediakan dalam pakej rangsangan ekonomi kepada kru kabin.- MalaysiaGazette