PARIS – Manchester United semakin hampir ke suku akhir Liga Europa selepas membelasah LASK Linz 5-0 pada aksi kelompok 16 terakhir yang berlangsung secara tertutup berikutan pandemik Covid-19.

Pelawat pantas di hadapan menerusi Odion Ighalo yang membuka jaringan sebelum setengah jam dan Daniel James menambah jaringan kedua.

Juan Mata turut mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga lapan minit sebelum tamat manakala Mason Greenwood dan Andreas Pereira meledak dalam masa kecederaan.

United kini mencatatkan aksi tanpa kalah kepada 11 perlawanan dan sembilan kali tanpa bolos dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu, perlawanan berkenaan berlangsung tanpa penyokong berikutan panduan diberikan kerajaan Austria iaitu satu daripada empat perlawanan berlangsung secara tertutup hari ini.

UEFA semalam mengesahkan pusingan pertama antara Inter Milan dan Getafe di Itali dan antara Sevilla dan Roma di Sepanyol tidak akan dilangsungkan seperti dalam jadual.

Pengumuman itu hadir ketika pihak berkuasa Sepanyol menggantung penerbangan hingga 25 Mac daripada Itali yang menjadi negara Eropah paling teruk terjejas dengan virus itu. – MalaysiaGazette