Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2020

PUTRAJAYA – Dalam mengembalikan hubungan baik antara Arab Saudi dan Malaysia, Menteri Luar negara itu, Putera Faisal Farhan Al Saud telah memberikan jaminan akan melawat negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, intipati lawatan itu akan berkisar kepada perbincangan mengenai hubungan dua hala antara Putrajaya dengan Riyad.

“Saya dapat informasi bahawa Putera Faisal akan datang Malaysia, Khamis ini.

“Ini mencerminkan kesan positif kepada Malaysia yang boleh kembali kepada hubungan baik antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Sebelum ini, Hishammuddin berkata, Putera Faisal beriya-iya mahu ke Malaysia namun dinasihatkan tidak berbuat demikian ekoran penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu, Syeikh Abdullah Zayed juga sedia untuk menghantar pasukannya ke Malaysia bagi membantu pasukan kesihatan negara ini menangani Covid-19.

“Emiriah Arab Bersatu adalah negara mendahului dalam melawan Covid-19. Mereka sedia untuk membantu kita dan bekerjasama dengan Malaysia namun soal logistik diserahkan kepada kita,” katanya lagi.

Dua hari lalu, Hishammuddin menerima enam panggilan daripada rakan sejawatnya di negara-negara lain.

Mereka termasuklah Menteri Luar China, Wang Yi; Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UEA), Syeikh Abdullah Zayed; kepimpinan daripada Arab Saudi, Menteri Luar Singapura, Indonesia dan Thailand.

Antara yang dibincangkan adalah mengenai penularan virus Covid-19. -MalaysiaGazette