Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan masing-masing bermula Isnin, 16 Mac ini.

Ia melibatkan agihan berjumlah RM2.1 bilion meningkat RM1.2 bilion berbanding RM900 juta pada tahun sebelumnya.

TH dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, agihan keuntungan yang lebih baik ini didokong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.

Jelasnya, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion yang mana hampir separuh daripadanya (RM1.2 bilion) diperolehi dalam suku keempat.

“Secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil dimana pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15 peratus), RM0.5 bilion (15 peratus) dan RM0.4 bilion (12 peratus).

“Perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil turut berjaya  mengurangkan  tekanan  akibat  keadaan  pasaran  saham  yang  tidak menentu, antara lainnya, berpunca daripada ketegangan perang dagangan di peringkat global.

“Pada 31 Disember 2019, kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan  jumlah  aset  melebihi  jumlah  liabiliti  sebanyak  RM2.9  bilion  (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion,” katanya.

Tambah TH,  dengan pengurusan kos berhemat, ia berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19 peratus atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu.

Peningkatan keuntungan selepas zakat ini dicapai setelah TH mengambil kira pembayaran zakat kepada majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia sebanyak RM86 juta; pengurusan dan penyediaan kemudahan kepada semua jemaah haji Malaysia serta mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 berbanding kos sebenar iaitu RM22,900 bagi semua jemaah haji Muassasah kali pertama. – MalaysiaGazette