Tan Tai Kim

PETALING JAYA – Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu pengajaran tulisan Jawi membuktikan bahawa Dong Zong bukan pertubuhan ekstrem, secara tidak langsung membantu membersihkan nama pertubuhan itu.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Yusof Rawa juga pernah menyatakan bahawa pertubuhan pimpinannya bukan kumpulan ekstrem dalam satu pertemuan dengan pertubuhan Cina dan pendidikan India sebelum ini.

Katanya kepada Sinchew Daily, keadaan itu berlaku kerana Dong Zong tidak membantah tulisan Jawi, tetapi tidak bersetuju dengan cara pelaksanaannya.

Tegas Tai Kim, Dong Zong mengiktiraf tulisan Jawi sebagai warisan negara selain berpegang kepada semangat saling menghormati antara kaum.

Katanya, Dong Zong juga menganjurkan program rentas kaum untuk meningkatkan integrasi selain mengalakkan pemahaman antara kaum termasuk melalui pengalaman menulis kaligrafi Jawi.

“Kami menolak Jawi dalam subjek teras kerana ia membebankan pelajar sekolah rendah semasa belajar Bahasa Melayu.

“Pada masa yang sama, kami menegaskan bahawa lembaga pengurus sekolah harus mempunyai kata putus tahap tertentu dalam isu ini,” katanya.

Dalam satu wawancara bersama Sinar Harian, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, hanya pelajar Muslim perlu belajar Jawi kerana mereka perlu membaca Quran, manakala orang Cina tidak perlu berbuat demikian.

Dong Zong merupakan singkatan untuk Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Lupakan sajalh dz ni.. PN tegakkan martabat BM termasuk segala isi kandungnya, sejarahnya, wadahnya dan segala-galanya lidah melayu, tulisan melayu.

Comments are closed.