KUALA LUMPUR – Ketua pasukan bela kes berprofil tinggi SRC Internatioanal dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah disahkan negatif daripada wabak Covid-19.

Sebelum ini, Shafee dan isterinya juga peguam bela, Tania Scivetti dipercayai telah mempunyai kontak secara langsung kontak rapat dengan adik iparnya yang disyaki Covid-19 semasa kenduri di rumah mereka Sabtu lepas.

Bagaimanapun beliau hanya menyedarinya pada Khamis lepas sebelum melakukan ujian saringan Covid-19 pada 12 Mac. Selain beliau pasukannya juga dikatakan telah melakukan ujian tersebut.

Keputusan yang keluar juga telah mengesahkan beliau negatif daripada wabak tersebut.

Ketika MalaysiaGazette menghubungi Shafee sebentar tadi, beliau telah mengesahkan keputusan ujian bagi wabak itu adalah negatif untuk diri dan keluarganya.

“Ya, benar keputusaanya negatif,” katanya ringkas dalam pesanan Whatsapp tadi.

Khamis lepas, perbicaraan 1MDB yang masuk hari ke-23 terpaksa ditangguhkan sejurus selepas peguam Shafee, Noor Farhah Mustaffa, memberitahu keseluruhan pasukan itu terpaksa dikuarantin kerana disyaki berkemungkinan terdedah kepada wabak Covid-19 itu.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah kemudian memutuskan supaya segera dilakukan ujian dan menghantar surat rasmi dari pihak berwajib berhubung keputusan ujian tersebut.

Seandainya positif, ada kemungkinan kes tersebut akan ditangguhkan untuk waktu tertentu tetapi jika keputusannya negatif, beliau memutuskan untuk menyambung perbicaraan pada Khamis hadapan.

Selain itu, Collin juga mahu tarikh-tarikh perbicaraan ditangguh sebelum ini digantikan dengan tarikh lain untuk kelangsungan prosiding selepas ini.

Shafee ketika ini sedang mengetuai kes-kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku peguam bela dan baharu sahaja selesai menutup pembelaan kes SRC International melibatkan penyewelengan RM42 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa pasukan pendakwaan juga akan menjalani ujian sama sementara Ketua Pasukan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Perbicaraan 1MDB melibatkan penyewelengan RM2.3 bilion akan bersambung di hadapan Collin pada 19 Mac ini. –MalaysiaGazette