Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Dr Maszlee Malik menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan beliau yang meminta orang Cina belajar tulisan khat.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah perkenalkan tulisan khat ini kepada pelajar Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dalam buku teks Bahasa Melayu cetakan 2015.

Waktu tu, katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun masih belum ditubuhkan dan ketika itu beliau merupakan seorang pensyarah biasa dan tidak terlibat dengan pembentukan Kurikulum Sekolah Rendah (KSSR).

”Justeru adalah salah untuk mengatakan Pakatan Harapan atau saya yang menyuruh orang Cina belajar tulisan khat (Jawi).

”Salah untuk mengatakan “kita tak minta MCA terima pun,” jelas Maszlee dalam surat kepada Dr Mahathir bagi mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu mengenai isu tulisan Jawi yang menjadi polemik dalam Kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam wawancara itu, Dr Mahathir berkata, dulu kerajaan tidak minta pun MCA menerima tulisan itu tetapi apabila semasa pemerintahan Pakatan Harapan, Menteri (Pendidikan) mahu orang Cina belajar tulisan khat.

Menurut Dr Mahathir lagi, sebab itu selama 60 tahun, tidak pernah dengar MCA tolak tulisan Jawi kerana kerajaan ketika itu tidak pernah minta orang Cina belajar.

”Khat berkenaan dengan agama, banyak kaitan dengan agama. Kita tulis Allah, kita tulis Muhammad. Lepas tu kita suruh diorang tulis Jawi. Apa perlunya kita suruh dia tulis jawi. Jadi kita timbulkan masalah di mana tidak ada masalah.

”Lepas tu bila dia tak bersetuju, ha, kita kata dia tak bersetuju. Benda tu bukan masalah. Dulu selama 60 tahun kita memerintah, kita tak pernah dengar MCA tolak Jawi. Pasal kita tak suruh dia belajar Jawi. Ni tiba-tiba kita suruh dia (belajar),” kata Dr Mahathir ketika diwawancara oleh sebuah media baru-baru ini

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mendakwa, termasuk hari ini, sudah lebih 10 kali penjelasan mengenai isu itu dibuat termasuk kepada Dr Mahathir, Kabinet, dalam mesyuarat MPT, dalam siri-siri perbincangan dengan pemegang-pemegang taruh, juga dengan semua pihak.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat salah faham dan fakta terhadap isu ini yang juga boleh mengelirukan ramai orang.

Maszlee yang mempertahankan dirinya berkata, pengenalan tulisan Jawi itu telah dibentangkan dalam Kabinet Pakatan Harapan dan seperti yang telah diputuskan Kabinet, tulisan Jawi yang diperkenalkan tidak ada kaitan dengan agama dan hanya tiga muka surat.

”Secara ringkasnya, anak-anak Malaysia kita akan belajar cara menulis perkataan “Malaysia”, “Ringgit Malaysia”, “Bank Negara Malaysia” dan “Bersekutu Bertambah Mutu” dalam tulisan jawi, tulisan warisan kita. Itu sahaja.

”Tambahan pula, pembelajaran ini tidak akan diuji di dalam peperiksaan,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak pilih untuk berhadapan dengan isu-isu ini tetapi memberi tumpuan kepada pembaharuan dalam pendidikan.

Namun sebagai Menteri Pendidikan pada waktu itu, Maszlee berkata, beliau perlu menggalas tanggungjawab dengan menangani isu ini dan menghormati keputusan yang telah disepakati oleh KPM sekian lama.

”Malah ketika saya meletakkan jawatan sebagai menteri sekalipun, Jawatankuasa Kajian Dasar hampir memuktamadkan syor untuk mengubah sistem pendidikan negara kita secara total.

”Mereka telah dipilih berdasarkan kepakaran masing-masing. Mereka telah mengumpulkan puluhan ribu pandangan orang ramai, mereka berbengkel berbulan-bulan lamanya untuk muktamadkan syor yang terbaik.

”Jika diizinkan, segala syor mereka boleh mula dilaksanakan sekurang-kurangnya bermula hujung tahun ini.

”Itulah fokus paling utama saya, selain meringankan beban guru, meningkatkan akses pendidikan kepada OKU dan B40, STEM, kebebasan akademik, kualiti pendidikan peringkat sekolah dan peringkat tinggi, kerjasama pendidikan dengan industri, dan juga menyelesaikan masalah sekolah daif terutamanya di Sabah dan Sarawak,” ujarnya yang berharap penjelasan itu boleh memperbetulkan salah faham.

Di akhir surat itu, Maslee meminta Dr Mahathir mendengar penjelasan daripada orang yang tepat, bukan hanya dalam kalangan orang-orang yang terdekat sahaja. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Mahathir kata selama 60 tahun, tidak pernah dengar MCA tolak tulisan Jawi kerana kerajaan ketika itu tidak pernah minta orang Cina belajar
    Selama 60 tahun Melayu memerintah Cina berani membantah dalam hal2 agama Islam kerana Melayu bersikap tak apa
    Selama itu juga kita tak pernah meminta kaum itu menghormati adat resam dan budaya Melayu hingga ada yang tak tahu bertutur BM langsung bagaimanakah kita nak harap mereka memahami adat budaya kita

Comments are closed.