GP Bahrain digantung dan akan disusun semula setelah Covid-19 reda menjelang Mei nanti

LONDON – Perlumbaan Formula satu Grand Prix Bahrain dan Vietnam yang sepatutnya berlangsung pada 22 Mac dan 5 April ini telah digantung serta merta.

Maka musim F1 kali ini dijangka bermula pada 3 Mei dengan GP Belanda.

GP Australia dan GP China juga telah dibatalkan awal lagi dan kesemua empat perlumbaan yang dibatalkan itu dijangka akan disusun semula untuk hujung tahun ini.

Penganjur difahamkan akan menilai potensi penyusunan semula tarikh alternatif untuk mengadakan semula perlumbaan yang dibatalkan awal musim ini sekiranya sitiuasi Pandemik Koronavirus (Covid-19) menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.

“F1, FIA dan semua pemegang taruh telah mengambil keputusan menggantung perlumbaan demi memastikan kesihatan dan keselamatan pelumba dan kakitangan serta peminat F1.

“Maka sebagai keputusan kita akan memulakan musim di Eropah Mei ini dan memandangkan trend Covid meningkat di Eropah kita akan memantau perkembangan itu setiap masa,” sebut kenyataan bersama F1 dan FIA hari ini.

Walaupun F1 menjanjikan F1 GP akan bermula pada Mei, ia masih belum menjamin kesemua aksi itu akan berlangsung seperti ditetapkan. – MalaysiaGazette