Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Topeng muka pada ketika ini mendapat permintaan yang sangat tinggi.

Lebih-lebih pula selepas kerajaan menyarankan ia digunakan oleh orang awam sebagai pencegahan Covid-19 yang kini disahkan memasuki gelombang kedua di negara ini.

Bagamanapun sebenarnya kebanyakan farmasi terutama di Lembah Klang sudah kehabisan stok topeng muka sejak sebulan lalu lagi.

Seorang jurujual farmasi, Yong Yen Yen, 27, berpendapat, kekurangan bekalan mungkin disebabkan oleh masih ada pengilang yang mengeksport keluar topeng muka.

Jenice Yong Yen Yen semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2020.

“Bekalan topeng muka sudah tiada sejak sebulan lebih, kami ada buat tempahan tapi pengeluar atau pemborong bagi harga pun sekarang terlalu tinggi, pemborong pun mungkin eksport ke luar negara masih sebab itu kami susah nak dapat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Seorang lagi jurujual mendakwa meskipun sebelum ini pengilang berkata bekalan akan kembali normal pada Mac namun sehingga kini ia tidak menjadi kenyataan.

“Topeng muka tiada stok lebih kurang selepas perayaan Tahun Baru Cina sejak Febuari tiada stok sampai sekarang. Sekarang pengeluar kata Mac akan dapat bekalan tetapi sampai sekarang masih tiada lagi,” kata Ru Shan, 28.

Ru Shan, 28, semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2020.

Perkara yang sama menurut Cheng Weng Kan, 25, pula juga berpunca daripada pengeluar yang berkemungkinan menumpukan pembekalan topeng muka di hospital yang merupakan kawasan tumpuan pesakit.

“Sekarang sebab kita ada active cases di hospital jadi saya percaya pengilang akan bekalkan kepada hospital terlebih dahulu, itu yang keutamaan mereka selepas itu baru kita akan terima, jadi ambil masa sikit untuk pihak farmasi,” kata jurujual di sebuah farmasi.

Temubual bersama Cheng Weng Kan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2020.

Justeru beliau berharap agar penambahbaikan terus dilaksanakan iaitu memastikan pengilang topeng muka dapat meningkatkan jumlah keluaran topeng muka setiap hari agar dapat memenuhi permintaan semasa.

“Sudah tentu kalau mereka boleh tambah baik pengeluaran, itu terbaik,” katanya.

Ditanya tentang bagaimana pihak farmasi meletakkan harga, tiga premis yang dikunjungi MalaysiaGazette didapati tidak menaikkan harga sebaliknya sentiasa akur ketetapan yang dibuat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna sebelum ini.

Namun tidak dinafikan ia harganya akan naik sekiranya ada pengilang yang meletakkan harga tinggi kepada pemborong dan peruncit kerana permintaan yang tinggi. -MalaysiGazette