IMBAS KEMBALI. Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

PETALING JAYA – Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertahankan jawatan presiden parti itu dicabar oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut menawarkan diri seorang lagi iaitu Mohd Faiz Azlee Sham.

Perkembangan terbaharu itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, seramai tiga calon akan merebut jawatan Timbalan Presiden Bersatu yang tidak dipertahankan oleh penyandangnya Mukhriz pada pemilihan kali ini.

Antaranya Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Ketua Armada Selangor, Anas Akshah Nazri.

Sementara itu, penyandang jawatan Naib Presiden Bersatu pula, Datuk Abdul Rashid Asari akan mempertahankan jawatannya itu.

Dalam masa sama, Abdul Rashid akan dicabar oleh 14 calon lain bagi jawatan utama parti Melayu itu.

Antara pencabarnya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Redzuan Md Yusoff, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ronald Kiandee dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Turut menghantar pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Bersatu ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka selaku Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Dalam pada itu, bagi jawatan ketua Angkatan Bersatu Anak Muda yang disandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula akan dicabar dua calon lain.

Antaranya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal dan Exco Armada Nasional, Mohd Muzzammil Ismail.

Bagi jawatan nombor dua sayap Bersatu itu pula, seramai lima calon muka baru akan berebut jawatan Naib Ketua Armada anak muda itu, termasuklah calon ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Sementara itu, bagi jawatan Srikandi Bersatu pula, Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rina Mohd Harun akan berentap dengan tiga calon lain merebut ketua sayap parti itu.

Manakala jawatan Naib Ketua Srikandi pula akan direbut oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dna lima calon lain. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.