Semua tabika, taska dan sekolah tahfiz di Sarawak diarah ditutup selama dua minggu mulai esok disebabkan Covid-19.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua tabika, taska dan sekolah tahfiz di Sarawak diarah ditutup selama dua minggu mulai esok.

Sekolah-sekolah pula dilanjutkan cuti persekolahan sehingga 29 Mac ini, kata Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak susulan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 di negeri itu.

Dalam tempoh tiga hari, Sarawak merekodkan sebanyak 34 kes Covid-19 itu dengan 29 kes jangkitan diimport.

Selain dua arahan itu, ada tujuh pendekatan lain termasuk semua institusi pengajian tinggi di negeri itu termasuk milik kerajaan dan swasta diminta menangguhkan sesi akademik selama dua minggu juga berkuatkuasa mulai esok.

Ia termasuk semua kemudahan sukan awam termasuk kolam renang, stadium dan gimnasium ditutup mulai esok sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Dalam kenyataan itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak itu turut mengarahkan semua pelawat (asing dan domestik) masuk ke Sarawak dan pulang ke Sarawak diberi Notis Menginap Di Rumah (SHN) selama 14 hari.

Arahan itu tertakluk kepada penduduk Sarawak, termasuk pemegang pas jangka panjang dan jangka pendek yang akan berkuatkuasa pada 18 Mac ini.

Agensi berkaitan akan memantau pemegang SHN melalui lawatan rawak, panggilan telefon dan aplikasi teknologi moden.

Pengecualian perjalanan hanya diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri kepada mereka yang dikehendaki untuk melakukan perjalanan di bawah keadaan khas (tugas rasmi dan perniagaan).

Selain itu, semua acara rasmi Kerajaan Sarawak yang melibatkan lebih daripada 50 orang, akan dibatalkan atau ditangguhkan atau sehingga notis selanjutnya.

Penduduk Sarawak juga dinasihat untuk mengamalkan standard tertinggi kebersihan diri dan melakukan pengasingan sosial dengan ketat.

”Jawatankuasa itu turut menasihatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu atau tidak disahkan pada platform media sosial.

“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multi Media tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau juga memaklumkan penyebar berita palsu akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, dan juga akan dikenakan denda tambahan RM1,000 untuk setiap hari di mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan. – MalaysiaGazette