Dean Henderson

LONDON – Chelsea dilaporkan sedang menyediakan tawaran besar untuk penjaga gol muda Manchester United, Dean Henderson.

Menurut The Sun, Chelsea dipercayai berminat dengan penjaga gol kebangsaan England itu dan The Blues mahu menjadikan penjaga gol itu sebagai pesaing utama kepada Kepa Arrizabalaga yang mengalami prestasi buruk pada musim ini.

Akhbar itu turut mendedahkan Chelsea akan mengagihkan sejumlah dana yang besar untuk membeli Dean Henderson dan sanggup mengeluarkan dana sehingga £50 juta dan bersedia mengemukakan tawaran untuk pemain itu.

Meskipun begitu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan United bersedia untuk menawarkan sejumlah gaji yang besar untuk Henderson bagi menghalang kelab luar untuk dapatkan pemain itu.

Red Devils dijangka menawarkan kontrak baru dengan kenaikan gaji yang signifikan terhadap Henderson.

United akan menyediakan gaji sebanyak £100,000 seminggu kepadanya dan berharap pemain itu bersedia menandatangani kontrak baru.

Bagaimanapun United tidak dapat memberikan kepastian sama ada dia akan berada di kelab atau kekal di musim depan.

Henderson dikatakan tidak mahu berada di United jika ia hanya menjadi pesaing untuk David de Gea.

Dia masih mempunyai kontrak dengan United sehingga Jun 2022.

Sementara itu, pemain berusia 23 tahun yang masih mengikat kontrak dengan United dilaporkan mempunyai masa depan yang samar bersama United.

Henderson bermain baik untuk Sheffield musim ini di Liga Perdana dan telah beraksi sebanyak 27 perlawanan serta melepaskan hanya 22 gol.

Dia juga telah mencatatkan 10 perlawanan tanpa bolos setakat ini.
Prestasi cemerlang Henderson telah memberi kesan positif terhadap pencapaian Sheffield di Liga Perdana Inggeris. .

 

MalaysiaGazette