Suasana lengang di dalam sebuah restoran susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lengang, sunyi dan sepi. Itulah suasana terkini di restoran sekitar Lembah Klang menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan mulai tengah malam ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sehingga petang tadi, hanya 40 peratus sahaja orang awam mengunjungi restoran hari ini meskipun sudah tamat waktu bekerja.

Nampaknya keadaannya ini menggambarkan, rakyat Malaysia  bersedia bekerjasama dengan kerajaan, mematuhi pelaksaan perintah yang dilakukan demi membendung wabak yang kini menjadi kebimbangan.

Pengurus sebuah kedai makan 24 jam, Mohd Azharuddin Syed Mohd Sultan, berkata, situasi terkini seakan petanda tidak baik untuk perniagaannya.

Peniaga, Mohd Azharuddin Syed Mohd Sultan, 18, bercakap kepada wartawan Malaysia Gazette susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok akibat penularan wabak Covid-19 di sekitar Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2020.

Namun beliau tetap positif kerana perintah yang dikeluarkan kerajaan bukan dihadapinya seorang malah pemilik kedai makan lain juga berhadapan situasi yang sama. 

Ujarnya lagi, sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia pelbagai lapisan masyarakat, daripada semua latar belakang memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan menghentikan penilaran wabak yang boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya tidak dianggap serius.

“Hari ini pelanggan sudah kurang. Sangat kurang. Memang rugi banyak dan akan rugi banyak,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette.

Malah tambah Mohd Azharuddin  restoran itu yang sebelum ini beroperasi 24 jam bakal dipendekkan kepada sehingga 7 malam sahaja untuk menggalakkan masyarakat tidak terdedah di tempat awam.

MalaysiaGazette memerhatikan kebanyakan pekerja restoran di kawasan Lembah Klang tidak sibuk seperti sebelum ini kerana kekurangan pelanggan.

Perintah Kawalan Pergerakan akan dikuatkuasakan esok sehingga 31 Mac ini.

Kata Perdana Menteri Tam Sri Muhyiddin Yassin semalam hanya beberapa sektor sahaja akan beroperasi seperti biasa iaitu peruncitan dan pasaraya demi memastikan bekalan makanan sentiasa cukup.-MalaysiaGazette