Foto Facebook Penang FA

KUALA LUMPUR – Minggu keempat Liga Premier 2020 menyaksikan pasukan Terengganu FC II (TFC II) terus cemerlang merekod empat kemenangan berturut-turut untuk kekal di puncak liga dengan Kelantan United mengekori rapat di kedudukan kedua apabila hanya dibezakan dengan tiga mata.

TFC II menjadi satu-satunya pasukan yang belum keciciran sebarang mata dan terbaharu menang 2-1 ke atas Kelantan sekali gus berjaya mengumpul 12 mata untuk mengungguli takhta liga.

Pulau Pinang dan Kuala Lumpur juga masih belum mengalami sebarang kekalahan apabila telah meraih dua kemenangan dan dua seri untuk meletakkan mereka masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat liga.

Walau bagaimanapun, perhatian juga harus diberi kepada pendatang baharu Liga Premier iaitu Kelantan United apabila mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan tiga kemenangan dan hanya tewas sekali kepada Kelantan sebelum ini untuk berada satu tangga sahaja di bawah TFC II.

Menurut pengendalinya, Zahasmi Ismail, kebangkitan yang dipamerkan anak buahnya dengan melakar kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan selepas tewas 0-2 kepada Kelantan adalah wajar dipuji kerana bukan mudah untuk mereka mengejar rapat kedudukan pendahulu liga setakat ini.

“Bersyukur apabila kita berjaya mendapatkan tiga mata dan pemain-pemain membuktikan mereka bangkit selepas tewas dengan Kelantan sebelum ini.

“Tetapi apa saya boleh katakan, apabila pasukan bermain tanpa kelibat penyokong di laman sendiri, baru saya dapat rasakan bahawa pemain ke 12 ini sebenarnya amat penting kerana kami amat terasa dengan ketiadaan mereka dan semangat pemain juga agak berkurang walaupun kemenangan tetap berpihak kepada pasukan.

“Walau apa pun, kami berjaya hadiahkan tiga mata untuk mereka dan selepas ini, saya mahu pasukan ambil peluang untuk berehat sekejap apabila saingan ditangguhkan sementara waktu sebelum kita kembali lebih bersedia untuk beraksi”, jelasnya.

Dalam masa yang sama, Pulau Pinang nampaknya perlu bekerja lebih keras selepas ini untuk kembali memperbaiki prestasi pasukan sepertimana yang mereka lakukan pada awal musim dengan dua kemenangan pertama sebelum momentum pemain kian menurun pada minggu berikutnya.

Ketua jurulatihnya, Manzoor Azwira tidak menolak berasa kecewa dengan keputusan yang diraih ketika berdepan Kuching FA pada Sabtu lalu yang berakhir tanpa jaringan dan mahu setiap pemain mengambil pengajaran daripada perlawanan itu untuk lebih berusaha dalam perlawanan seterusnya.

“Saya memang agak kecewa kerana kita gagal untuk mendapat tiga mata sekali lagi dalam perlawanan keempat ini.

“Kuching FA pula beraksi dengan hanya 10 pemain dan kita masih lagi tidak berjaya untuk menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menjaringkan gol.

“Pemain-pemain saya bermain tidak seperti biasa kali ini dan saya harap ia akan menjadi satu pengajaran kepada pasukan untuk lebih fokus dan serius bagi memburu tiga mata selepas ini”, jelasnya.

Keputusan lain menyaksikan pasukan Selangor 2 menang 2-1 ke atas Perak II sementara pasukan Sarawak United terpaksa akur dengan kekalahan kedua, kali ini kepada Kuala Lumpur dengan keputusan 1-2 manakala UKM FC pula berjaya mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT II) tanpa jaringan. – MalaysiaGazette