Sebahagian pengunjung mula membeli makanan secara bungkus susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok akibat penularan wabak Covid-19 di sekitar Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2020.

PETALING JAYA – Sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bagi membendung wabak Covid-19, rata-rata premis makan mula kehilangan pelanggan.

Bagi pengusaha restoran nasi lemak terkenal di sini, Datuk Seri Mohd Shamil Abdullah, 64, perkembangan tersebut sememangnya sudah dijangka apatah lagi para pelanggan kelak hanya dibenarkan memesan makanan untuk dibawa balik ke rumah.

Beliau yang telah mengusahakan restoran tersebut selama 19 tahun bagaimanapun bersyukur kerana restorannya tersenarai dalam perkhidmatan Grab Delivery.

Secara tidak langsung perkhidmatan penghantaran itu akan membantu memudahkan kerja-kerja penghantaran makanan kepada pelanggan dalam waktu terdesak seperti ini.

“Sebab kita ada sediakan khidmat Grab Delivery tetapi kita tidak buka kedai, beri khidmat bungkuslah.

“Sudah tentu akan alami kerugian sebab tempoh perintah ini dua minggu, jadi nasib baik ada Grab Delivery dan boleh bungkus,” katanya kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan sekitar kawasan ini.

Peniaga, Datuk Seri Mohd Shamil Abdullah, 64, bercakap kepada wartawan Malaysia Gazette susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok akibat penularan wabak Covid-19 di sekitar Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2020.

Mengakui perintah kerajaan merupakan penyelesaian terbaik menangani wabak yang semakin menular dalam negara namun  dalam masa yang sama beliau tidak  menolak sedikit kecewa bakal berdepan dengan kerugian.

“Apa yang dilakukan ini ada baik ada buruk, buruk mungkin sementara waktu untuk peniaga,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan di sebuah restoran yang menyediakan hidangan negara matahari terbit mendapati majikan di situ sudah mula mengarahkan sebahagian pekerjanya bercuti.

Ani Muhammad, 42, berkata, majikannya mengmbil langkah drastik memberikan cuti tanpa gaji kepada lebih separuh pekerja restoran sushi itu. 

Peniaga, Ani Muhammad 42, bercakap kepada wartawan Malaysia Gazette susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok akibat penularan wabak Covid-19 di sekitar Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2020.

Ini kerana, katanya, operasi restoran untuk tempoh dua minggu tidak akan sesibuk seperti biasa sebaliknya hanya akan menyediakan makanan berdasarkan tempahan pelanggan.

“Pekerja sudah mula diberi cuti tanpa gaji, lebih separuh. Sebab buat sementara waktu hanya boleh bungkus tidak perlu ramai pekerja.

“Sebelum ini kami ada 10 pekerja, tujuh telah diberi cuti,” katanya yang kelihatan agak risau memikirkan masa depannya sebagai pekerja kedai tersebut.

Ani berkata, majikannya sudah tentu tidak mahu berhadapan dengan risiko menanggung kerugian lebih tinggi untuk menanggung gaji pekerja dalam masa yang sama perlu membelanjakan ribuan ringgit untuk sewa kedai dan membeli bekalan makanan selain bil elektrik dan air harus dilangsaikan.

Pengurus kedai Tseng Suk San, 38, pula memberitahu MalaysiaGazette operasi kedai akan berubah berdasarkan jumlah jualan dalam seminggu.

Peniaga, Tseng Suk San, 38, bercakap kepada wartawan Malaysia Gazette susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok akibat penularan wabak Covid-19 di sekitar Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2020.

Sekiranya dalam seminggu pelanggan tidak memberangsangkan maka majikannya memberitahu operasi akan dipendekkan berbanding sebelum ini.

Lebih buruk risiko menutup sementara restoran juga tinggi, tambah Tseng.

Majikannya juga ujar beliau tidak lagi menyimpan bekalan makanan mentah seperti selalu kerana bimbang akan rosak begitu sahaja.

“Kami beroperasi hanya untuk take away tengok pelanggan ramai atau tidak beberapa hari. Kalau ramai pelanggan kami teruskan kalau tidak akan tutup sampai perintah kawalan pergerakan tamat.

“Masa beroperasi pun tidak sama esok 9 pagi sampai 6 petang sahaja. Kalau tidak ramai orang kami kurangkan waktu operasi lagi . Bekalan makanan mentah kami hanya sediakan stok untuk sehari sahaja dulu. Takut cepat rosak,” kata beliau.

Sejak semalam beliau berkata hanya 40 peratus pelanggan yang makan di restoran itu.

Mulai esok hingga 31 Mac tempoh Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19.

Kerajaan juga melarang perhimpunan dalam skala besar.

Perkembangan terkini melaporkan direkodkan dua kematian akibat wabak itu. -MalaysiaGazette