Presiden Mahkamah Timbangtara MATE, Tan Sri Profesor Muslim Yacob bercakap pada sidang media berhubung pelantikan Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan di MATE Establishmen Tribunal Timbangtara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 MAC 2020

AMPANG – Golongan peminjam yang terpaksa menjual hartanah mereka selepas kesukaran membayar balik pinjaman atau pembiayaan boleh menyaman semula pihak bank jika merasakan diri telah dianiaya.

Presiden Mahkamah Timbang Tara, Tan Sri Dr. Munsyi Muslim Yacob berkata, saman boleh difailkan jika berpendapat hartanah mereka telah dijual di bawah harga pasaran oleh pihak bank.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak tujuh kes bekas peminjam telah menyaman semula bank daripada 500 kes yang dikendalikan pihaknya sejak lima tahun lalu.

“Kami telah mencadangkan agar pengadu yang datang ke sini agar menyaman semula pihak bank jika mereka merasakan telah dianiaya.

“Kami akan tunjuk ajar macam mana hendak lawan pihak bank yang jual rumah di bawah harga pasaran.

“Ada kes seorang pengadu yang rasa dianiaya apabila harga rumahnya bernilai RM1 juta telah dijual pada harga RM400,000 iaitu 60 peratus di bawah harga pasaran.

“Pengguna hanya perlu mencari dua panel penilai untuk menyaman pihak bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Presiden Mahkamah Timbangtara MATE, Tan Sri Profesor Muslim Yacob bercakap pada sidang media berhubung pelantikan Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan di MATE Establishmen Tribunal Timbangtara Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 MAC 2020

Mengulas lanjut, Munsyi memberitahu, 80 peratus daripada 500 kes yang dikendalikan pihaknya telah diisytihar muflis oleh bank.

Justeru beliau meminta kerajaan dapat menyemak semula undang-undang perbankan yang tidak adil kepada peminjam namun memihak kepada pihak bank.

Menurutnya, akta berkaitan bankrap perlu turut dikaji untuk lebih membantu golongan peminjam yang berdepan kesukaran membayar balik pinjaman atau pembiayaan dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik buat mereka.

“Kita jangan terus menindas mereka hingga hilang rumah dan tiada tempat tinggal. Lebih baik pihak bank memberi ruang melalui rayuan agar golongan peminjam menstruktur semula pembayaran mereka,” katanya. – MalaysiaGazette