LONDON – Pandemik koronavirus telah membawa satu ancaman nyawa dan impak yang kritikal dalam aspek ekonomi dan sosial di peringkat global ketika ini.

Sukan juga tidak terkecuali daripada menerima tempias yang sangat mendalam sehingga temasya utama peringkat asia dan antarabangsa terpaksa ditangguh dan dibatalkan.

Kini acara kejohanan bola sepak Eropah yang juga berdepan krisis sama sedang mencari penyelesaian untuk menamatkan baki kempen yang tergantung tanpa penamat.

Kesatuan Bola Sepak Eropah atau Uefa kini sedang mempertimbangkan cadangan satu perlawanan bola sepak mini diadakan untuk menamatkan kempen Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa yang tertangguh selepas peringkat kalah mati akibat gelombang kedua Covid-19 yang mengganas.

Pada selasa, Uefa menganjurkan satu sidang video bersama 44 kelab bola sepak Eropah yang menganggotai badan itu.

Piala Euro 2020 yang dijadualkan berlangsung Jun ini dijangka ditunda bagi memberi laluan kepada musim liga di Eropah yang tertangguh akibat Covid-19 dilengkapkan dengan meneruskan baki perlawanan.

Sumber rapat mendakwa semua pihak perlu bersedia untuk mengorbankan sesuatu bagi mencapai langkah penyelesaian dalam krisis ini.

Kesemua 55 ahli Uefa yang mewakili kelab Eropah, Lembaga Pengarah Persatuan Kelab Eropah dan Liga Eropah dan wakil Kesatuan FifPro pemain dunia dijemput untuk mesyuarat tersebut untuk berkongsi pandangan dan input masing-masing.

Sementara pengurusan Liga Perdana Inggeris menyatakan komitmen menamatkan saingan musim ini, Uefa mahu Liga Juara-juara Eropah dan Liga Europa mencapai penyelesaian sebab terdapat kontrak penyiaran yang perlu dipuaskan.

Dalam kedua dua kejohanan itu hanya tinggal enam perlawanan sahaja termasuk perlawanan akhir.

Masih ada 14 aksi terakhir pusingan 16 masih perlu dijalankan dalam kedua dua temasya itu.

Pengurangan aksi timbal balik dan hanya mengadakan aksi mini untuk ke final membolehkan fokus dapat diberikan terus terhadap kejayaan kedua dua temasya itu.

Justeru cadangan menunda Euro 2020 ke tahun hadapan juga akan memberi kesan kepada jadual kempen musim liga di Eropah musim hadapan.

Dalam keadaan sekarang Uefa juga tidak dapat menentukan bila agaknya kesemua temasya sukan yang tergantung akibat Covid-19 akan kembali dimulakan lagi.-MalaysiaGazette