Foto hiasan. Orang ramai berpusu-pusu di IPD Shah Alam untuk mendapatkan borang merentasi negeri yang kemudian ditangguhkan pelaksanaannya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini selama dua minggu kerana wabak Covid-19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) sepanjang tempoh itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri menjelaskan, terdapat kes di mana simptom jangkitan wabak hanya muncul selepas jangka waktu itu.

Beliau berkata, kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu ini, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan sekali gus menjadikan Malaysia bebas daripada Covid-19.

“Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus Covid-19 dengan berada di rumah,” katanya dalam perutusan khas Covid-19 di sini malam ini.

Muhyiddin menambah, virus tersebut berjangkit dari manusia ke manusia menerusi sentuhan.

Jelas beliau, sekiranya orang ramai bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi.

“Kerana itu kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya anak-anak kita tidak perlu pergi ke sekolah. Jadi mereka tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus Covid-19.

“Saudara-saudari juga tidak perlu ke tempat kerja supaya saudara-saudari tidak bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini. Inilah tujuannya,” katanya. – MalaysiaGazette