Erra Fazira second wife politician minister Ahmad Faizal Azumu Perak
Erra Fazira

KUALA LUMPUR – Artis popular, Erra Fazira berpesan kepada rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan tidak meninggalkan rumah jika tiada urusan penting.

Menerusi Instagram miliknya, Erra berharap pengikutnya memahami bagaimana virus itu merebak selain usah memandang mudah soal kesihatan dan nyawa.

“Fahami jaluran wabak ini. Ada sebab kita disuruh duduk di rumah. Tolong jangan keluar tanpa urusan penting. Sangat penting semua ini jangan ambil mudah.

“Ya bosan, ya ekonomi terganggu, ya banyak kerja tertunda. Tapi semua itu tidak bererti andai kesihatan kita menjadi taruhan.

“Bukan hanya kita sebagai individu tetapi seluruh keluarga, kawasan, daerah, negeri dan negara akan pincang.

“Kalau ada yang degil, tolong ‘sekolah’ dan tarbiah secara berjemaah dan baik. Tindak tanduk orang begitu akan mengundang parah kepada yang lain,” tulisnya.

Pelakon dan penyanyi itu mahu semua orang berfikir dengan waras tanpa mementingkan diri sendiri.

“Fikirlah kesayangan hambaku semua… Jangan ambil mudah,” katanya.

Erra juga berterima kasih kepada doktor, jururawat, kakitangan sokongan dan petugas lain yang ‘berperang’ dengan 1,001 cabaran dan dugaan demi menyelamatkan nyawa.

“Moga Allah membalas kebaikan kalian di dunia dan akhirat. Kemuliaan tugas, keikhlasan hati, keberkatan niat menjadikan kalian wira di mata kami serta mulia di sisi Allah.

”Terima kasih wira dan wiranita kami,” katanya. – MalaysiaGazette