Bantuan pertama peralatan perubatan dari China dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

KUALA LUMPUR – Kerajaan China telah menghantar bantuan peralatan pertama ke negara ini, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.

Menteri Luar itu berkata, bantuan tersebut kini dalam perjalan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau mengumumkan perkara itu di laman Facebook miliknya sebentar tadi selepas mendapat pengesahan Kedutaan China di Malaysia pagi tadi.

Peralatan perubatan yang dibekalkan oleh China.

“Baru 3 hari lepas saya bertemu H.E Ambassador Bai Tian, Duta China ke Malaysia di Wisma Putra untuk bincang mengenai bantuan yang mungkin Kerajaan China 🇨🇳 boleh hulurkan bagi membantu Malaysia tangani wabak #COVID19.

“Saya juga tulis secara rasmi kepada rakan sejawat di China, H.E Wang Yi untuk dapatkan bantuan facemask, hand sanitiser, #COVID19 test kit dan lain-lain.

“Pagi ini, Kedutaan China di Malaysia maklumkan, bantuan pertama peralatan perubatan sudah dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh. Terima kasih kepada Kerajaan China kerana tak tunggu lama untuk bantu. Teringat saya kata-kata Bai Tian masa kami jumpa hari tu – bukit sama didaki, lurah sama dituruni!,” tulisnya.

Hishammuddin turut memuatnaik dua gambar bantuan pertama itu. – MalaysiaGazette