Datuk Seri Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media Pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 20 MAC 2020

SHAH ALAM – Seramai 80,000 penjaja dan peniaga berlesen yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan akan diberikan bantuan sebanyak RM500 seorang secara one-off (sekali bayar) membabitkan peruntukan RM40 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Covid-19 yang diumumkan hari ini membabitkan peruntukan sebanyak RM127.78 juta.

Beliau berkata, penjaja dan peniaga terbabit juga akan dikecualikan membayar sewa premis masing-masing bagi meringankan beban mereka akibat kehilangan punca pendapatan utama.

“Pengecualian sewa akan diberikan kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis dengan peruntukan RM12 juta.

“Turut disediakan adalah pemberian khas one-off sebanyak RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM 40 juta.

“Permohonan untuk pemberian tersebut akan mula dibuka mulai 1 April 2020 sehingga 30 April 2020,” katanya pada sidang media di Kediaman Menteri Besar, di sini, hari ini.

Selain itu, bagi meringankan beban usahawn Skim Hijrah Selangor, mereka yang terbabit turut diberikan penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan ansuran kepada 40,000 peminjam Hijrah.

“Beban kewangan yang akan ditanggung Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM70 juta,” katanya.

Turut diberikan penangguhan bayaran sewa sebanyak tiga bulan ansuran kepada peserta Skim Smart Sewa melibatkan 2,700 penyewa dengan kos sebanyak RM600,000.

Dalam pada itu juga, Amirudin juga mengumumkan Penggunaan Khas Peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dengan anggaran kira-kira RM30,000 setiap seorang.

“Mereka boleh menggunakan peruntukan untuk sebarang perbelanjaan aktiviti Mesra Rakyat khusus untuk keperluan harian individu atau keluarga yang terkesan.

“Peruntukan mininum untuk inisiatif ini berjumlah RM1.68 juta,” katanya.

Katanya, turut diberikan kelonggaran ialah pelanjutan tempoh akhir bayaran cukai tanah atau petak dari 31 Mei 2020 kepada 30 Jun 2020.

“Kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai untuk melewatkan pembayaran cukai tanah atau petak selama satu bulan tanpa sebarang bebanan kos pada pihak Kerajaan Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tuan dan puan sekalian
    Saya seorang penjaja food truck jual makanan…baagimana saya mahu terima rm500..mana tempat pergi ambil…mahu isi borang tak, kalau mahu isi borang mana tempat boleh ambil borang..

    Sekian terima kasih

Comments are closed.