Anggota polis membuat pemantauan di luar masjid ekoran umat islam tidak dibenarkan Solat Jumaat susulan Perintah Kawalan Pergerakkan berkuatkuasa seluruh negara bagi mengekang penularan jangkitan wabak COVID-19 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 20 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Memahami keperluan orang ramai kerana penggunaan internet di rumah meningkat apabila Perintah Kawalan Pergerakan diaktifkan sejak dua hari lepas, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan menawarkan pelbagai tawaran istimewa termasuk data internet percuma.

Celcom contohnya, menawarkan akses tanpa had kepada aplikasi WhatsApp (berbual, panggilan suara dan video) serta aplikasi Microsoft 365 kepada semua pengguna pasca-bayar dan pra-bayar Xpax bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang setiap hari.

Syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataannya berkata, ia sedang mempertimbangkan untuk memberikan lebih banyak akses kepada aplikasi-aplikasi berkaitan pekerjaan (produktiviti).

Pelanggan pra-bayar juga boleh mendapatkan akses internet tanpa had selama enam jam berbanding tiga jam sebelum ini apabila mereka membeli pas Celcom Xpax Ultra Hours berharga RM2.

Selain itu, pulangan tunai turut diberikan kepada pelanggan yang membeli tambah nilai berjumlah RM10 ke atas melalui aplikasi Celcom Life manakala pengguna pasca-bayar Celcom Mega boleh menukar (trade-in) kuota internet yang tidak digunakan kepada pulangan tunai e-dompet, Boost.

Tambahnya, pembayaran bil pasca-bayar juga dilanjutkan.

“Oleh kerana ramai pelanggan-pelanggan kami yang bekerja dari rumah atau menghadkan pergerakan mereka, kami merasakan terdapat keperluan untuk rangkaian ini memenuhi permintaan selari dengan perubahan penggunaan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi.

Selain Celcom, U Mobile juga menggandakan kuota data hotspot secara percuma kepada pelanggan-pelanggan pasca-bayar Unlimited Hero P139, Hero P99, GX68 dan GX50 bermuka hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Sementara itu, pengguna pra-bayar Unifi Mobile Bebas boleh mendapatkan pas data tanpa had mingguan secara percuma yang mana para pelanggan layak mendapat liputan LTE selama tujuh hari. – MalaysiaGazette