Sekatan jalan raya pada OPS Covid-19 pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 MAC 2020

SELAYANG – Dalam keadaan pasukan keselamatan sedang memainkan peranan mahu menyelamatkan orang ramai menjadi mangsa pandemik Covid-19 masih ada dalam kalangan rakyat sanggup membuat pelbagai helah bagi melepaskan diri.

Ia termasuk mendakwa isteri mengidap kanser manakala isterinya pula ‘berlakon’ sakit di dalam kereta.

Itu drama yang dapat disaksikan semasa Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 yang diadakan oleh Pasukan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Operasi  bermula 7 pagi dengan kekuatan anggota seramai 80 orang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Gombak, Asisten Superintendan Saharuddin Abd Talib di Jalan Kuala Lumpur-Rawang.

Dalam sekatan yang dilaksanakan berhampiran simpang jalan utama susur keluar ke Hospital Selayang dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu menyebabkan kesesakan jalan raya kira-kira lebih satu kilometer – menunjukkan masih ramai orang keluar pada hari ketiga bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan.

Semasa sekatan jalan raya jalan di hadapan Pasar Borong Selayang menuju ke Rawang, sebuah kenderaan Nissan Silphy berwarna emas ditahan oleh pasukan polis bertugas.

Kenderaan itu dinaiki dua lelaki duduk di tempat duduk depan dan seorang wanita duduk di tempat duduk penumpang di belakang kenderaan.

Polis bertugas menyoal motif mereka berada di atas jalan walhal sepatutnya duduk di rumah dan menghadkan aktiviti.

Pemandu kereta itu memberi alasan mengejutkan iaitu isterinya yang duduk di belakang menghidap penyakit kanser kritikal dan sedang dalam perjalanan kehospital untuk dirawat.

Penjelasan itu tidak berapa meyakinkan dan meragukan sehingga anggota polis menyoal mereka beberapa kali bagi mengesahkannya.

“Betul tuan, isteri sakit kanser, nak bawa untuk dirawat di hospital sekarang,” dakwa lelaki itu bersama kawannya berulang kali kepada polis bertugas.

Bagaimanapun lelaki berkenaan tidak menunjukkan sebarang surat atau dokumen bagi menyokong dakwaan yang isterinya mengidap kanser.

Namun, selepas dilepaskan oleh pasukan polis, mereka dilhat ketawa seolah-olah berjaya ‘memperdayakan’ anggota polis bertugas sebelum memecut kenderaan menuju ke Rawang.

Polis yang bertugas sempat melihat mereka ketawa itu sekadar menggeleng kepala melihatnya dan kelihatan kesal dengan apa yang berlaku sedangkan penipuan sedemikian dilihat seolah-olah menghormati pasukan berkuasa yang mahu membantu kerajaan mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, satu pasangan suami isteri turut ditegur pasukan polis apabila membawa dua orang anaknya di dalam kereta semasa mahu  menghantar isterinya untuk menjalani pembedahan di Hospital Selayang.

Anggota Polis membuat pemeriksaan keatas orang ramai semasa melakukan sekatan jalan raya pada OPS Covid-19 pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 MAC 2020.

Kemudiannya mereka dinasihati anggota polis kerana melalui kedua-dua anak mereka menambah risiko untuk terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Menurut salah seorang anggota polis yang bertugas, mereka tidak faham kenapa masih ramai orang berada di jalan raya sedangkan mereka sepatutnya duduk diam di dalam rumah masing-masing.

“Ini satu kereta bawa anak ramai-ramai, naik motor berpasangan seperti bersiar-siar dan melakukan penghantaran barang dengan lori yang sepatutnya dilarang kerajaan sepanjang tempoh ini,” ujarnya yang tidak mahu dikenali.

Anggota polis juga mengambil kesempatan membuat hebahan umum menggunakan pembesar suara dengan menasihatkan orang ramai supaya mereka perlu berada di rumah masing masing kerana peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah dikuatkuasakan mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Sekiranya gagal mematuhi peraturan tersebut, orang ramai boleh diambil tindakan termasuk denda RM1,000 atau dipenjarakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, alasan yang lazim diberikan kebanyakan orang dalam operasi itu adalah pulang dari kerja, menghantar makanan ke rumah, membawa emak ke bank bagi mengeluarkan wang.

Pagi tadi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Angkatan Tentera Malaysia akan diturunkan Ahad ini untuk membantu polis menguatkuasakan sekatan jalan raya dan menasihati awam yang masih tidak mempedulikan nasihat kerajaan.-MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.