Hospital Umum Sarawak

KUALA LUMPUR – Sarawak mencatatkan dua lagi kes kematian akibat Covid-19.

Jawatan Pengurusan Bencana Sarawak dalam kenyataannya berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 79 tahun dan anak perempuannya, 40.

Kedua-dua berasal dari Kuching.

Wanita itu dilaporkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan pada jam 2 petang pada 18 Mac lalu dan anak perempuannya di Hospital Umum Sarawak jam 1 petang tadi.

”Seorang ahli keluarga lain yang turut positif Covid-19 masih ditahan di unit rawatan rapi Hospital Umum Sarawak,” kata kenyataan itu sambil memaklumkan punca jangkitan sedang disiasat.

Kes pertama kematian akibat wabak ini di Sarawak adalah pada 13 Mac, juga di Kuching tetapi makluman kematian ditangguhkan kerana mangsa, seorang wanita meninggal dunia di sebuah hospital swasta.

Hospital berkenaan perlu mendapatkan hasil ujian dari sebuah makmal swasta di Kuala Lumpur.

Pada !7 Mac lalu, seorang paderi, 60, disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Sarawak.

Setakat ini, katanya, sebanyak 10 kes jangkitan direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan meningkatkan kepada 68 sejak 13 Mac lalu.

Sebanyak lima kes di Hospital Sibu, tuga di Hospital Umum Sarawak dan dua di Bintulu. –

Dengan dua kes kematian terbaharu ini menjadikan enam kematian keseluruhannya di Malaysia setakat hari ini. – MalaysiaGazette.