Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar (kanan) bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan pada sidang media hari ini.

PUTRAJAYA- Kementerian Luar memberi penghargaan kepada MIC yang diterajui  presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran selepas usahanya membawa pulang rakyat Malaysia seramai 1,519 terkandas di India sejak hampir seminggu.

Perkara tersebut yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Menteri Sumber Manusia merangkap Naib Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan hari ini.

Menurut Kamaruddin, fasa pertama seramai 1,100 akan dibawa dari Chennai dan Tricy ke Malaysia melalui enam pesawat khas Air Asia manakala bakinya akan menggunakan Malaysia Airlines (MAS) dari Mumbai serta Chennai.

“Saya ingin ucapkan penghargaan saya kepada MIC yang telah bekerjasama sepenuhnya membantu Wisma Putra dalam memastikan kesemua rakyat kita yang terkandas di lapangan terbang negara berkenaan dapat dibawa pulang dengan selamat

“Ini merupakan hasil usaha hasil perbincangan antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussien yang juga merupakan sahabah baik kepada Vigneswaran.

“MIC juga bersedia membiayai dengan nilai RM1.05 juta yang juga merupakan kos penerbangan dari India ke Malaysia membawa pulang kesemua terkandas itu. Terima kasih di ucapkan kepada usaha murni ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, kata Saravanan, penghargaan juga diberikan kepada Wisma Putra yang telah banyak membantu dalam urusan diplomatik antara dua negara yang pada masa begitu kritikal dengan wabak pandemik Covid-19.

Bagaimanapun kesemua proses serta prosedur itu berjalan lancar dalam beberapa hari sahaja kerana hasil kerjasama semua pihak termasuk kerajaan India yang memberikan kebenaran khas untuk membawa pulang kumpulan rakyat Malaysia yang terkandas itu.

“Saya ingin juga ambil kesempatan ini untuk memberitahu semua khasnya masyarakat India di negara ini, ketika ini wabak Covid-19 bukan sahaja sedang melanda Malaysia sebalik seluruh dunia.

“Kebimbangan bukan sahaja tentang bawa balik yang terkandas ini sebaliknya tentang krisis yang sedang berlaku secara global. Jadi, kadangkala apa yang kita harapkan daripada kerajaan mungkin mengambil masa sedikit, hakikatnya semua perlu memahani.

“Mungkin pada anggapan anda yang terkandas itu adalah masalah sangat besar tetapi fikir juga tentang apa yang sedang melanda dunia dan keluarga masing-masing di luar sana.

“Tidak seharusnya wujud rasa tidak puas hati mengapa kerajaan mengambil masa lama untuk bawa pulang semua, mengapa berhari-hari dan segala macam menjadi persoalan serta ada juga buat demonstrasi, anda juga perlu faham apa yang kami lalui, ini bukan mudah.

“Fikirkan juga apa yang sedang berlaku ketika ini, semua orang sedang susah dan melalui satu musibah yang belum lagi selesai, semua orang sedang lalukan yang terbaik memastikan semuanya kembali seperti sedia kala. Saya harap masyarakat India dapat bermusabah diri juga,” ujarnya.

Tan Sri SA Vigneswaran

Kata Saravanan lagi, proses untuk bercakap dengan kerajaan India dan mendapat kebenaran khas bagi menerbangkan kembali yang terkandas ini adalah satu proses sungguh kompleks, komitmen yang ditunjukan pihak kerajaan sangat tinggi.

“Yang terkandas pada awalnya hanya dalam 200 lebih sahaja tetapi kemudian yang juga pergi bercuti di India kemudian terkandas juga merayu kepada kita, angka itu kemudian mencecah sehingga lebih 1000.

“Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran tetap mahu bawa pulang kesemua mereka dengan berbelanja lebih sejuta ringgit. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah,” tegasnya.

Kesemua mereka akan dibawa secara berperingkat melalui pesawat khas dalam masa terdekat beberapa hari lagi selepas semuanya berjalan lancar.

Dalam pada itu, Saravanan juga memuji usaha Kementerian Luar yang ketika ini sedang cuba membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang sedang terperangkap berikutan wabak Covid-19 di merata dunia. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ada juga pelajar2 luar negara yg tak dpt keluar kerana kekangan module kuliah, kekangan kewangan dll seperti mana pelajar luar yg putuskan utk terus tinggal di mesia. Minta kem Luar pej Duta catit sikit stat rakyt mesia yg stay sana. Jgn nanti dh kena baru nak chck.
    Yg dpt balik free ingt2 lah sikit sape yg belanja , jgn sapi punya susu…. kau ckp susu tin yg bagus.. citt.

Comments are closed.